Yayasan Nurjiwa konsisten bantu Palestin, agih makanan kepada 10,000 orang setiap hari

Oleh MAISARAH AISYA

Konflik di Palestin, khususnya di Gaza, terus meruncing sejak serangan berterusan yang dilancarkan oleh rejim Zionis menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan ribuan nyawa

Sekatan berpanjangan telah menyukarkan akses kepada keperluan asas seperti makanan, air bersih dan perkhidmatan perubatan, menjadikan krisis kemanusiaan di Palestin semakin parah.

Disebabkan itu penyanyi nombor satu Malaysia, Seri Siti Nurhaliza Tarudin tampil mendedahkan bahawa Yayasan Nurjiwa kekal konsisten menyalurkan sumbangan.

Jelas Siti Nurhaliza, sumbangan makanan itu diberikan kepada 10,000 rakyat Palestin sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu siang dan malam alpor HibGlam.

“Alhamdulillah, sejak Palestin bergolak sehingga kini kami dapat terus menyalurkan sumbangan kepada saudara kita di sana terutamanya dalam menyalurkan makanan kepada mereka setiap hari.

“Meskipun masih dalam bentuk bijirin dan kekacang, makanan disalurkan secara berterusan dua kali sehari menerusi wakil kami di sana,” katanya seperti dipetik HibGlam.

Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa syukur apabila Yayasan Nurjiwa menjadi platform dipercayai rakyat Malaysia untuk menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin.

Katanya, setiap sumbangan dan aktiviti kebajikan yayasan dikongsi secara telus kepada umum.

“Yayasan memang akan kongsikan setiap aktiviti yang kami lakukan kepada orang ramai tidak hanya di Palestin. Kami juga membantu mana-mana pihak yang memerlukan terutama dalam negara.

“Sebagai contoh, sumbangan makanan turut kami berikan kepada pelajar-pelajar golongan B40 di universiti terpilih pada setiap Jumaat,” katanya.

Pada masa sama, Yayasan Nurjiwa bekerjasama dengan jenama Inayah Beauty untuk membaik pulih masjid di negara tersebut dengan kos RM300,000 Ramadan lalu.

Projek tersebut dilaksana oleh wakil Yayasan Nurjiwa yang menetap di kawasan tersebut.

Baca juga: Kantoi curang, netizen anggarkan isteri CEO Astronomer bakal dapat lebih RM200 juta jika berpisah