Salah seorang rakan kepada pempengaruh permotoran, Muhammad Syahmi Mansur meluahkan rasa kecewa selepas ditipu hidup-hidup oleh Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin atau dikenali sebagai Ija.
Dia tidak dapat menahan rasa malu kerana satu Malaysia menyaksikan bagaimana dia sanggup berenang di dalam sungai kerana memikirkan pempengaruh itu mungkin lemas di dalam kereta yang tenggelam.
Tetapi akhirnya selepas segala usaha kerasnya, dia dikhabarkan bahawa Ija sebenarnya melarikan diri ke negara jiran dan berkomplot dengan ahli keluarga untuk membuat laporan palsu.
Menurut Berita Harian, berita kejadian sebenar diterima Muhammad Syahmi beberapa jam selepas polis mengeluarkan kenyataan bahawa adik lelaki Ija membuat laporan palsu berhubung kehilangannya.
Sebaik dimaklumkan perkara itu, dia bersama rakan lain kecewa kerana usaha dilakukan dengan ikhlas akhirnya dibalas dengan tindakan yang tidak pernah dijangka sama sekali.
“Mana saya nak letak muka? Semua dah kenal saya, nak pergi kerja pun takut. Saya bantu dengan ikhlas sampai ambil cuti semata-mata nak pergi mencarinya di sana (Muar).
“Semua rakan yang bantu mencarinya rasa kecewa. Tak sangka dia buat macam tu pada kami dan saya pun tak tahu apa motif dia.
“Orang dah kenal saya kerana berenang di sungai itu. Saya malu nak keluar rumah, sampai tahap ini sekali saya dipermainkan.
“Sampai sekarang saya terbayang yang saya berenang dalam sungai itu. Dalam hati saya cakap “kau kenapa buat aku macam ni?” katanya memetik BH Online.
Pada masa sama dia juga kecewa kerana adik lelaki yang disyaki bersubahat tidak memberitahu kejadian sebenar sepanjang operasi mencari dan menyelamat.
“Kami datang dari serata tempat lebih 20 orang, tapi adik dia tak bagi apa-apa hint (petunjuk). Inilah yang buat kami marah dan kecewa,” katanya.