Alya Iman lapor polis, tertekan difitnah jadi perosak rumah tangga Zizi Kirana-Yusuf Bahrin

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Alya Iman tampil membuat laporan polis susulan tular dakwaan di media sosial mengaitkan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti iaitu Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.

Perkara itu dimaklumkan Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil menerusi kenyataan rasmi dimuat naik di Instagram Story bersama gambarnya berkebaya hijau ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut Alya, tuduhan yang tidak berasas sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej dan kerjayanya sebagai anak seni malah turut memberi kesan kepada kesihatan mentalnya ekoran mengalami tekanan.

Hal ini berikutan pelakon berusia 24 tahun itu mendakwa telah menjadi sasaran tohmahan dan fitnah netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas termasuk mencaci dan melabel dirinya akibat tuduhan tersebut.

“Saya ingin mengeluarkan kenyataan rasmi berikutan satu isu yang sedang tular di media sosial dengan mengaitkan nama saya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti. Segala tuduhan tersebut adalah fitnah yang mencemarkan nama saya.

“Disebabkan penyebaran fitnah ini, saya telah mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya turut terjejas akibat kecaman terbuka oleh masyarakat. Spekulasi dan kata-kata kesat yang dilemparkan secara bebas di media sosial telah berlaku tanpa sebarang bukti yang sah.

“Sebagai langkah mempertahankan diri dan maruah, saya telah mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan,” katanya yang berharap keadilan dapat ditegakkan melalui saluran undang-undang.

Alya juga menegaskan bahawa laporan itu dibuat sebagai pengajaran agar individu terlibat lebih bertanggungjawab atas perkara disebarkan apalagi di media sosial yang mana maklumat belum tentu benar mudah ditularkan.

Pelakon itu tidak menafikan bahawa dirinya bukan insan sempurna namun berharap perkara yang berlaku di masa silam kekal menjadi pengajaran kerana dia telah memilih tidak mengulanginya dan terus melangkah ke hadapan.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak polis mengesahkan bahawa laporan daripada Alya Iman telah diterima namun siasatan kes akan dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Baca juga: ‘Mana saya nak letak muka? Saya malu satu Malaysia tengok saya turun sungai nak selamatkan Ija’ – Rakan