Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini membebaskan bapa Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Zaim Ikhwan Zahari atas satu kes mengabai kanak-kanak autisme berkenaan pada dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian pada Isnin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan di akhir pendakwaan kes.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan isterinya, Ismanira Abdul Manaf untuk membela diri atas pertuduhan itu kerana terdapat kes prima facie terhadap wanita terbabit dalam kes berkenaan.
Keadaan mahkamah yang sebelum ini senyap bertukar penuh emosi apabila ahli keluarga termasuk datuk arwah, Zahari Mohd Reba, 56, menangis sambil memeluk ahli keluarga yang lain, lapor Sinar Harian.
“Mahkamah bebaskan Zaim Ikhwan sementara Ismanira diperintah membela diri,” kata hakim memetik laporan Sinar Harian.
Pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 30 tahun itu turut dilihat mengalirkan air mata mereka ketika mendengar keputusan hakim berhubung tuduhan tersebut daripada kandang tertuduh.
Mahkamah kemudiannya menawarkan tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.
Pilihan kedua pula memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh atau ketiga, berdiam diri serta tidak menjawab pertuduhan.
Ismanira kemudian membuat keputusan mengambil pilihan pertama selepas berbincang dengan peguam yang mewakilinya iaitu Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Terdahulu, pasangan berkenaan membuat pengakuan tidak bersalah pada 13 Jun 2024 di atas satu pertuduhan pengabaian terhadap arwah anak mereka di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan di antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Untuk rekod, Zayn Rayyan yang ketika itu berusia 6 tahun ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sekitar jam 10 malam, pada 6 Disember 2023.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember yang mana kisah kehilangannya dikongsikan Ismanira di laman Facebook sebelum mangsa ditemukan terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Baca juga: Ingatkan jenama luar negara, rupanya kasut Menteri ini hasil jurutera UiTM!