Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjadikan sebuah kediaman di Kepong sebagai ‘kilang’ memproses dokumen palsu termasuk pasport.
Kegiatan sindiket berkenaan terbongkar susulan serbuan Ops Serkap dijalankan pihaknya di sebuah unit apartment tiga bilik pada awal pagi tadi sebelum membawa kepada penemuan ratusan pasport palsu yang sedang diproses.
Ketika serbuan ke atas kediaman di tingkat sembilan itu dijalankan, dua lelaki warga Bangladesh berusia sekitar 20-an disyaki ahli sindiket dilihat sedang leka memproses pasport palsu di dalam salah sebuah bilik.
Difahamkan, sindiket tersebut dipercayai mengenakan caj sebanyak RM400 bagi setiap pasport dihasilkan di ‘kilang’ itu manakala suspek yang mendakwa hanya bekerja di premis tersebut dibayar gaji kira-kira RM2,500 sebulan.
Lebih mengejutkan, dua suspek berkenaan mengambil masa hanya kira-kira 10 minit untuk menyiapkan senaskah pasport ketika diminta menunjukkan proses membuat dokumen palsu tersebut, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kulit pasport ditemukan dalam rumah yang disewa itu, pasport palsu dihasilkan oleh sindiket haram ini adalah membabitkan negara Bangladesh, India, Nepal, Indonesia, Pakistan dan Myanmar.
Sejumlah dokumen berkaitan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang diperlukan buat buruh asing untuk bekerja di Malaysia turut ditemukan dalam serbuan berkenaan.
Suspek terbabit dilihat seperti sukar untuk bertutur dalam Bahasa Melayu dan ketika serbuan berkenaan dijalankan, mesin pencetak didapati sedang mencetakkan halaman pasport antarabangsa Bangladesh.
“Satu hari saya boleh buat (pasport palsu) dalam 20 ke 30 dokumen, tengok berapa order (tempahan) daripada bos. Satu pasport boleh siap dalam 25 ke 30 minit. Saya kerja sahaja di sini.
“Saya tidak tahu ini semua siapa punya pasport. Semua bos yang suruh, saya buat sahaja,” dakwa suspek kepada wartawan yang turut hadir ketika serbuan itu dijalankan memetik laporan Harian Metro.
Dalam pada itu Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff yang mengetuai operasi berkenaan berkata, serbuan tersebut dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan selama satu bulan.
Modus operandi sindiket adalah menyediakan dokumen perjalanan (pasport) palsu bagi memperdaya pihak klinik bagi mendapatkan laporan FOMEMA untuk tujuan permohonan melanjutkan tempoh pas masing-masing.
Siasatan awal mendapati, keseluruhan transaksi di antara pelanggan dan ejen terlibat dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum tempahan disalurkan kepada dua suspek yang ditahan untuk diproses.
“Sindiket akan menggunakan butiran peribadi individu berstatus ‘fit‘ dan menukar wajah pada pasport kepada individu berstatus ‘unfit‘ bertujuan menipu laporan darah dan X-Ray.
“Bayaran tersebut dibuat menerusi satu akaun dipercayai milik seorang individu yang berpangkalan di Bangladesh. Siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan semua individu yang terbabit dalam sindiket berkenaan.
“Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya warga asing yang bersubahat melakukan aktiviti jenayah itu.” Tegasnya yang memaklumkan bahawa kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63.
Baca juga: Pelancong asing macam tak percaya MRT Malaysia terlalu bersih tak seperti negara maju lain