Kanak-kanak kumpul duit RM15 nak makan durian, sekali peniaga belanja Musang King percuma!

Oleh WAN SITI AMINAH

Sikap murah hati peniaga durian yang menunaikan hasrat tiga orang kanak-kanak untuk menikmati raja buah tersebut dengan membawa wang tabungan mereka telah menuai pujian orang ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, kanak-kanak terbabit hanya mengumpul wang sebanyak RM15 sahaja untuk membeli raja buah itu namun peniaga berkenaan malah memberikan dua biji durian kepada mereka secara percuma.

Lebih mengagumkan, salah satu daripada durian tersebut adalah jenis ‘kayangan’ iaitu Musang King yang biasanya boleh didapati di pasaran pada harga paling murah iaitu sekitar RM20 untuk sekilogram bagi buah gred rendah.

Gelagat kanak-kanak terbabit ketika datang ke gerai yang menjalankan operasi di tepi jalan sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur itu turut dirakamkan dalam video sebelum dikongsikan di akaun TikTok milik peniaga.

Menerusi rakaman yang berdurasi satu minit 52 saat itu, kelihatan kanak-kanak berkenaan memberitahu peniaga bahawa mereka masing-masing membawa wang RM2, RM5 dan RM8 untuk menikmati durian.

Peniaga terbabit kemudian mengumpulkan dan mengira duit berjumlah RM15 yang diserahkan oleh ketiga kanak-kanak berkenaan sebelum menyerahkan semula wang tunai tersebut kepada mereka.

“RM15? Baik, pegang dahulu (duit). Mari sini, ini Musang King. Tak payah timbang, tak payah bayar. Hari ini pak cik belanja,” kata peniaga terbabit sebelum mengopekkan sebuah durian dan memasukkannya ke dalam plastik.

@bala_durian

Simpan Duit untuk beli durian Duit Tabung ✅ Offer Durian 1bag Rm50 🎉🎉🎉 offer 🎉🎉🎉 #durianviral #durianlover #musangking #musanglovers #durianmurah #durianpadu #viralllllll

♬ original sound – Bala Durian – Bala Durian

Peniaga itu kemudian menambah lagi sebiji buah durian dipercayai jenis lain dalam plastik sama untuk dinikmati oleh kanak-kanak terbabit tanpa menerima sebarang bayaran daripada mereka.

Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian tersebut berjaya meraih sebanyak 1.4 juta tontonan dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya tampil memuji sikap pemurah peniaga terbabit.

Ramai juga pengguna turut mengirimkan doa agar rezeki peniaga dipermudahkan selain berharap video tersebut menjadi bukti bahawa perpaduan dan keharmonin di antara pelbagai kaum di Malaysia masih lagi utuh.

Baca juga: Gaji minimum baharu RM1,700 dikuatkuasa 1 Ogos tanpa pengecualian – Kesuma