Bukan buat ‘gomol-gomol’, Bonda Rozita bela dua ekor anjing K9 untuk jaga ladang

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan terkenal, Rozita Ibrahim berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik gambar memperlihatkan dua ekor anjing jenis K9 peliharaannya di platform media sosial.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, Rozita menegaskan bahawa kedua-dua ekor anjing itu bukanlah dibeli untuk dibelai sebaliknya bertujuan bagi menjamin keselamatan terutamanya di ladang miliknya.

Usahawan yang juga mesra disapa sebagai Bonda Rozita itu memaklumkan bahawa anjing peliharaan diberi nama Inddy dan Izzy tersebut baru berusia lapan minggu dengan masing-masing memiliki berat 14 kilogram (kg).

Kedua-dua haiwan itu turut mempunyai sijil keturunan sendiri selain sudah dipasangkan mikrocip dalam badan untuk memudahkan mereka dikesan sekiranya dicuri oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya takut dan tak berani pegang. Cuma berani dekat-dekat sahaja. Nama popularnya adalah K9. Mereka masih kecil, anak anjing baka German Sheperd berusia lapan minggu. Sebab ramai minta, Bonda kongsi gambarnya.

“Bonda minta orang asli jagakan. Saya beli anjing ini dan proses melatih nanti, ada orang yang akan ajar. Pelihara anjing untuk tujuan keselamatan terutama ladang yang luas dipuncak hutan. Anjing jenis ini sangat taat.

“Setia dan menjaga tuannya. Bonda bukanlah beli untuk tujuan nak gomol-gomol (belai). Kaedah samak juga kena tahu. Perlu ambil lesen juga nak membela anjing K9 baka Germen Sherpherd ini,” katanya di ruangan kapsyen.

Dalam perkongsian sama, Rozita menyifatkan anjing K9 sebagai haiwan cerdik selain lambang keberanian yang tidak boleh digugat dan mempunyai tubuh badan besar menyerupai fizikal serigala.

Suami kepada Rozita yang dikenali sebagai Ustaz Khairul turut membantu menguruskan anjing tersebut dan akan melakukan proses penyucian khas (sertu) dengan mandi bersama air bercampur tanah selepas menyentuh haiwan itu.

Baca juga: Berebut semua nak tunjuk aib, Ustazah Asma gesa masyarakat hentikan segera trend S-Line