Maklumat pelanggan terdedah lepas buat ‘complain’ ke HQ, ini respon Tealive

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial, seorang pelanggan Tealive meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterima di salah satu cawangannya.

Menerusi sebuah video yang dikongsi, kelihatan beberapa pekerja asyik bersembang hingga menyebabkan pesanan pelanggan tertunda.

Lebih mengejutkan, selepas aduan dibuat kepada pihak bertanggungjawab, maklumat peribadi pelanggan seperti nombor telefon dikatakan tersebar kepada individu tidak dikenali.

Insiden ini menimbulkan persoalan besar terhadap tahap profesionalisme dan kredibiliti syarikat, apabila maklumat sulit pelanggan didakwa gagal dilindungi dengan sebaiknya.

Antara tangkap layar dikongsi pengguna Threads.

Syarikat minuman terkenal Tealive tampil memohon maaf secara terbuka selepas tular insiden melibatkan pendedahan maklumat peribadi seorang pelanggan yang membuat aduan terhadap salah satu cawangan mereka.

Dalam kenyataan rasmi bertajuk ‘We are listening, learning and taking action’ (Kami Mendengar, Belajar dan Bertindak), pihak pengurusan Tealive mengakui telah berlaku kesilapan.

Jelas kenytaan tersebut, maklumat pelanggan termasuk nombor telefon telah dikongsikan secara tidak sengaja kepada pasukan outlet, yang kemudiannya menyebabkan ada individu terus menghubungi pelanggan terbabit.

“Perkara ini merupakan satu pelanggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) kami dan tidak mencerminkan nilai yang kami pegang sebagai sebuah jenama,” jelas kenyataan itu.

Menurut Tealive, aduan asal telah dibuat oleh pelanggan melalui Pasukan Khidmat Pelanggan dan diserahkan kepada Pengurus Kawasan untuk tindakan lanjut seperti yang ditetapkan dalam prosedur dalaman.

Namun, ketika proses itu berjalan, tangkap layar aduan yang mengandungi maklumat peribadi tersebar ke pasukan outlet tanpa tapisan sewajarnya.

Tealive menyatakan rasa kesal dan menegaskan komitmen mereka dalam melindungi data peribadi pelanggan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

Sebagai langkah pemulihan, Tealive telah mengambil tindakan segera termasuk:

  • Menyemak dan mengukuhkan semula prosedur dalaman bagi mencegah kejadian sama berulang.
  • Menjalankan latihan segera kepada semua kakitangan mengenai kepentingan privasi pelanggan.
  • Melakukan siasatan dalaman menyeluruh dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana kakitangan yang didapati cuai.

Pihak Tealive turut memaklumkan bahawa mereka telah menghubungi pelanggan yang terjejas secara peribadi dan sekali lagi menzahirkan permohonan maaf secara terbuka kepada orang ramai.

“Kami hargai maklum balas pelanggan kerana ia penting untuk penambahbaikan berterusan.

“Kami mohon maaf dan terima kasih atas sokongan berterusan anda,” jelas kenyataan tersebut.

Baca juga: 5 filem tempatan paling sendu walau ditayang di pawagam, ada yang kutip RM7k sahaja