Pempengaruh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adik lelakinya akhirnya menerima padah apabila dihukum penjara sebulan serta denda RM1,500 gara-gara membuat laporan palsu tentang kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu.
Keputusan dibuat Majistret Suzana Mokhtar sebentar tadi selepas pempengaruh yang dikenali sebagai Ija, 38, dan adiknya iaitu Tengku Abdul Aziz, 30, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa.
Mahkamah Majistret Muar juga memerintahkan Ija untuk dihukum penjara tiga bulan lagi, manakala Tengku Abdul Aziz pula enam bulan sekiranya gagal membayar denda yang mana mereka masing-masing sudah melunaskan bayaran, lapor Berita Harian.
Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 182 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah, manakala dua beradik itu diwakili oleh peguam iaitu Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa bersubahat dan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam berhubung kehilangan Ija di Balai Polis Lenga, Muar, Johor dalam kejadian pada jam 11.38 malam, 14 Julai lalu.
Terdahulu, Nor Hafizah dalam hujahan rayuan bagi pihak anak guamnya memberitahu kepada mahkamah bahawa tindakan diambil oleh pempengaruh itu didorong oleh masalah kewangan yang kini dihadapinya bukan untuk berkahwin di Thailand.
Dalam pada itu, Ija ketika diberi peluang mengemukakan rayuan mengakui dirinya menyesal dan akan melakukan permohonan maaf maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terkesan susulan tindakannya membuat laporan palsu.
“Saya sudah menyesal dengan tindakan dibuat. Saya tak nak (dihukum) penjara. Isteri saya sedang hamil enam bulan,” kata pempengaruh permotoran berkenaan ketika mengemukakan rayuan.
Berdasarkan fakta kes, Tengku Abdul Aziz membuat laporan polis pada 14 Julai lalu mengenai kehilangan abangnya sebelum orang awam menemui sebuah kereta didakwa dipandu Ija dalam Sungai Tui pada jam 3 petang keesokan harinya.
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada hari yang sama sebelum kejadian sebenar terbongkar pada 19 Julai, sekitar jam 12.30 tengah malam di mana dua beradik berkenaan disyaki membuat laporan palsu.
Hal ini berikutan Ija didapati masih hidup serta melarikan diri ke negara jiran di mana hasil siasatan mendapati dua beradik itu bergerak berasingan dari Johor Bahru sebelum pempengaruh terbabit memandu ke arah Pagoh manakala adiknya diminta meneruskan perjalanan.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, Ija dipercayai bertindak menenggelamkan kereta milik isterinya ke dalam Sungai Tui dan meminta adiknya untuk datang menjemputnya sebelum memasuki Thailand melalui Padang Besar di Perlis.
Rekod pergerakan masuk Ija itu tercatat di dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia, selain terdapatnya tempahan tiket pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai bertarikh 17 Julai lalu yang telah ditempah sehari sebelum kejadian.
Ija juga dikatakan turut menempah perkhidmatan e-hailing dan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kelibatnya di Terminal Bas Seremban pada jam 9.25 malam 14 Julai lalu.
Baca juga: Maklumat pelanggan terdedah lepas buat ‘complain’ ke HQ, ini respon Tealive