Pemain sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman terus menjadi bintang bola sepak termahal apabila dalam tempoh satu tahun sahaja, nilai pasarannya meningkat daripada RM2.8 juta kepada RM5.9 juta.
Nilai pasaran Arif diterbitkan Transfermark, menjadikan pemain nadi Harimau Selatan itu dinobatkan antara pemain tempatan termahal.
Prestasinya bukan calang-calang. Di Sepanyol, dia bukan sahaja diturunkan sebagai tonggak utama JDT dalam siri pra musim, malah diberi kepercayaan menyandang lilitan kapten.
Malah, ketika ini pemain terbabit boleh dikatakan antara ‘tonggak tetap’ yang membarisi kesebelasan utama skuad Harimau Malaya sekali gus membuktikan dia berada di kelas tersendiri.
Tapi kini, perbandingan nilai pasaran Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim kembali menjadi bualan panas penyokong bola sepak tempatan untuk membuktikan siapa sebenarnya ‘permata’ bola sepak Malaysia.
Luqman Hakim yang sebaya Arif Aiman kini sudah pun pulang ke tanah air selepas lima tahun merantau dari Belgium ke Iceland, kemudian ke Jepun, dan kini anak muda Kelantan itu menyarung jersi Negeri Sembilan FC.
Pun begitu menurut Harian Metro, Luqman hanya dinilai sekitar €50,000 (RM247,000) iaitu jauh tertinggal di belakang Arif.
Namun jangan cepat menghukum kerana Luqman pernah diuji di liga-liga Eropah sekali gus pengalamannya luas di pentas antarabangsa.
Baca juga: Anwar selamat tiba di Indonesia selepas berjaya dalam misi konflik Thailand-Kemboja