“Tok Batin simpan Jaslinda?” – 50 Tok Batin buat laporan polis terhadap TikToker

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial beberapa perkongsian berkaitan dakwaan fitnah membabitkan seorang Tok Batin dan pendaki wanita, Jaslinda Saludin sehingga mengundang perhatian ramai.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads, Lila_lylac mendakwa lebih 50 Tok Batin tampil membuat laporan polis terhadap seorang pengguna TikTok.

Ini adalah susulan penyebaran dakwaan kononnya Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu Mohd Asmmadi Abdullah menyimpan wanita berkenaan di rumahnya.

Dalam masa sama, turut tular satu video memaparkan seorang lelaki dipercayai membuat kenyataan secara berseloroh mengenai isu berkenaan.

“Dia pergi lepak rumah Tok Batin… masalahnya Tok Batin simpan dia dua minggu, tiga minggu tu… dia buat apa Tok Batin tu,” katanya sambil ketawa dalam video berkenaan.

Lelaki itu turut mendakwa isu tersebut mungkin tidak akan mendapat perhatian sekiranya tidak tular di media sosial.

“Aku rasa kalau tak viral tu, mahu Tok Batin henyak kahwin dengan dia,” dakwanya lagi.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut menerima kecaman ramai yang menyifatkan gurauan melibatkan maruah individu dan komuniti Orang Asli sebagai keterlaluan.

“Kerana mulut tak pasal-pasal kena hadap abang polis… boleh lah sambung gelak lagi kat balai nanti brader,” tulis seorang netizen.

Suami Jaslinda, Haszman Othman turut membuat laporan polis terhadap satu akaun TikTok yang didakwa mengaibkan dan memfitnah isterinya.

Baca juga: ‘Tolong deh viralkan…’, amoi Kelantan letih hadap masalah air bertahun-tahun