Biar anak hidup normal, bukan terikat gelaran – Sarimah Ibrahim

Oleh MAISARAH AISYA

Walaupun puteri kesayangannya, Tunku Sofia Najihah, dilahirkan sebagai kerabat Diraja Negeri Sembilan, pelakon jelita Che Puan Sarimah Ibrahim lebih senang memilih jalan sederhana dalam membesarkan anaknya.

Bagi pelakon berusia 47 tahun itu, gelaran dan dan kemewahan bukanlah pengukur apa yang penting adalh membesarkan anak dalam dunia kanak-kanak sebenar.

Menerusi temubual bersama Melodi, Sarimah sebolehnya mahu anaknya bermain seperti biasa dan tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata lapor Kosmo! Online.

“Cara saya membesarkan anak adalah dengan membiarkan dia membesar senormal yang mungkin. Saya mahu dia fokus pada pembentukan peribadi dan personaliti, bukan semata-mata pada rupa.

“Selagi dia masih boleh jadi budak, biarlah dia jadi budak. Kita pun dahulu hidup tanpa telefon pintar dan internet.

“Keluar pagi, balik bila azan maghrib. Saya nak besarkan anak saya begitu, kurang bergantung pada teknologi.

“Unsur yang saya ajar bukan pada rupa, tapi kepada siapa dia sebenarnya. Saya mahu dia jadi seorang yang tahu nilai diri, bukan hanya cantik di mata orang,” katanya pada Melodi Terhangat Superstar Tour.

Jelasnya, anaknya pernah menjadi mangsa cemuhan, bagaimanapun dia kekal memberi kebebasan untuk anaknya bergaya sesuai dengan umurnya.

“Dari segi penampilan, dia masih kecil. Umur pun baru enam tahun. Dia pilih sendiri baju kartun kesukaan dia. Kita pun dulu macam tu, panjat pokok, main di luar rumah.

“Kalau boleh, saya nak kekalkan suasana macam tu. Sebab zaman kanak-kanak tu datang sekali seumur hidup.

“Saya cuma berkongsi dari sudut pandang peribadi. Kalau ada yang menilai lain, terpulang. Apa orang lain nak kata, itu bukan urusan saya,” kongsinya.

Baca juga: Nilai pasaran Arif Aiman naik dari RM2.8 juta ke RM5.9 juta, Luqman Hakim pula di mana?