Penantian 11 tahun berakhir duka, bapa reda bayi kembar kembali ke rahmatullah

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman cukup menyayat hati di platform media sosial memaparkan seorang bapa sedang memegang balutan kain batik sambil berjalan masuk ke arah sebuah masjid.

Rupa-rupanya, kain batik yang dikucup beberapa kali oleh sang bapa dikenali sebagai Tuan Amin di dalam rakaman berdurasi satu minit berkenaan sebenarnya membaluti jenazah bayi kembarnya.

Menerusi perkongsian di platform TikTok itu, Tuan Amin memperlihatkan proses pengebumian kedua-dua cahaya matanya yang merupakan zuriat pertama selepas 11 tahun penantian bersama isteri tercinta.

Selepas urusan di masjid selesai, kain batik membaluti jasad anaknya itu kemudian dibawa ke sebuah tanah perkuburan untuk dikebumikan dalam satu liang lahad yang sudah digali dengan lebih awal.

Tuan Amin kemudian menyiramkan air di atas pusara bayi kembarnya selepas proses pengebumian yang dihadiri oleh beberapa individu dipercayai ahli keluarga dan kenalan rapatnya itu selesai.

@tuan_amin

Alhamdulillah. 2 puteri kembarku kembali ke rahmatullah. Terima kasih Allah atas pinjaman buat diriku dan isteriku yang terindah ini. Moga berjumpa di Syurga nanti anak anak #ttc #Wildan #anaksyurga #fyp

♬ original sound – Tuan Amin – Tuan Amin

Berdasarkan penulisan di ruangan kapsyen, sang bapa kelihatan reda dengan ujian kehilangan tersebut dan berharap semoga dapat bertemu kembali dengan puteri kembarnya itu di syurga kelak.

“Alhamdulillah, dua puteri kembarku sudah kembali ke rahmatullah. Terima kasih, Allah di atas pinjaman yang terindah ini buat diriku dan isteri. Semoga berjumpa di Syurga nanti, anak anak,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Tuan Amin turut meminta doa daripada orang ramai buat dirinya dan juga isteri serta ibu bapa lain yang sedang berjuang untuk menimang cahaya mata sendiri atau Trying-To-Concieve (TTC).

Setakat artikel ini ditulis, hantaran video tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 72,700 tontonan dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengucapkan takziah kepada bapa terbabit.

Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi mereka yang turut kehilangan cahaya mata di dalam kandungan selepas bertahun-tahun perjuangan untuk mendapatkan zuriat.

Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok selepas menonton perkongsian itu.

Baca juga: Biar anak hidup normal, bukan terikat gelaran – Sarimah Ibrahim