Isu kegagalan pemberian tiket kepada jemaah selepas umrah dilihat semakin membimbangkan, apatah lagi bila puluhan jemaah terkandas di lapangan terbang.
Situasi ini bukan sahaja menimbulkan kesulitan besar kepada mangsa yang terpaksa menanggung kos tambahan, malah menjejaskan emosi dan keselamatan mereka.
PU Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi memaklumkan bahawa dia akan meletakkan jawatan sebagai mutawif.
Ini adalah selepas erdepan pelbagai cabaran ketika menguruskan kumpulan jemaah yang gagal dibawa pulang ke tanah air seperti jadual asal lapor Harian Metro.
“Saya sudah memberi tempoh sehingga 6.30 petang waktu tempatan kepada syarikat untuk memberikan maklum balas pada 26 Julai lalu.
“Namun, apabila tiada sebarang tindakan atau respon diambil, saya memilih untuk mendedahkan perkara itu ke media sosial,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tegasnya pendedahan di media sosial itu adalah jalan terakhir diambil untuk mencari solusi bagi menyelesaikan kemelut jemaah yang terkandas.
Abu Sufyan turut berkongsi dia menyertai syarikat pengendali terbabit sebagai mutawif sejak 2023 dan hanya mempunyai hubungan sebagai pekerja dengan pihak pengurusan.
“Saya akan serahkan surat peletakan jawatan. Selain itu, beberapa pihak sudah hubungi saya untuk buka agensi sendiri.
“Buat masa ini, saya perlukan ruang bertenang dan akan berbincang dengan jemaah serta pihak berkaitan untuk menuntut keadilan,” katanya.
Pada masa sama Abu Sufyan berterima kasih kepada semua pihak terlibat yang membantu mereka menyelesaikan isu itu.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada media serta semua individu yang memainkan peranan dalam memastikan kebajikan jemaah terjamin.
“Saya berasa terkilan, syarikat pengendali umrah tidak seharusnya hanya mementingkan keuntungan.
“Sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap jemaah dan kakitangan yang bergantung kepada mereka,” katanya.
Baca juga: Pelajar peralihan Tingkatan 1 mengaku bersalah tumbuk guru, dibenar ikat jamin RM1,000