Pempengaruh media sosial dikenali sebagai Mamat Got No Chill berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas membuat perkongsian mengenai perjalanannya untuk berhenti menghisap rokok elektronik atau vape.
Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di platform media sosial Threads, pempengaruh berusia 28 tahun itu mengakui sudah masuk beberapa hari mencuba untuk mengurangkan kekerapan menghisap vape.
Walau bagaimanapun, tindakan tersebut memberi kesan kepada pemilik nama sebenar Muhammad Firdaus Mat Nahar itu sehingga pempengaruh berkenaan mengalami gejala nafas pendek dan kesakitan pada bahagian perut.
Keadaan itu mendorong Mamat untuk meminta nasihat daripada pakar dalam kalangan pengguna media sosial yang bergelar doktor mengenai kaedah lebih tepat untuk berhenti menghisap peranti elektronik tersebut.
“Ada doktor tak dekat sini (platform Threads)? Tolonglah berikan saya nasihat mengenai cara berhenti menghisap vape dengan betul. Sebab saya sudah mencuba untuk kurangkan menghisap vape dalam beberapa hari ini.
“Tetapi nafas saya malah menjadi semakin pendek dan perut juga terasa macam sakit. Kenapa ya?” Soal Mamat yang dikenali ramai menerusi penciptaan kandungan berunsur jenaka dimuat naik di platform TikTok itu.
Dalam perkongsian berikutnya, Mamat turut menyifatkan tindakannya menghisap vape sebagai alternatif ‘lebih baik’ daripada rokok sebagai keputusan yang salah malah bertambah sukar untuk membendung ketagihan.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati salah seorang pengguna dipercayai bergelar doktor mengulas keadaan dialami Mamat iaitu dikenali sebagai simptom pengunduran (withdrawal) sering dialami oleh perokok tegar atau penghisap vape yang mahu berhenti.
Ramai juga pengguna berkongsi pengalaman sendiri dan menasihati pempengaruh terbabit untuk terus merujuk ke klinik kesihatan kerajaan berikutan pusat perubatan berkenaan menawarkan rawatan penggantian nikotin berkesan dengan bimbingan pakar.

Baca juga: Anak dibuli dalam ‘chat group’, Ning Baizura jumpa ibu bapa pelaku