Umum tahu mengenai kes penyanyi Shila Amzah yang mendakwa dirinya diserang penyanyi senior baru-baru ini.
Media turut melaporkan peguam kepada Datuk Amy Search sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Shila susulan kontroversi tular bulan lalu yang membabitkan mereka.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh wakilnya, Aini Shuhaidah, Shila tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi berhubung isu yang sedang dihadapinya.
“Saya ingin memaklumkan kepada orang awam dan pihak media bahawa Shila Amzah tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi pada masa ini berhubung perkara yang sedang berlangsung,” jelas kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut kes berkenaan telah diserahkan secara rasmi kepada peguam Nini Adila, yang akan mengendalikan semua urusan berkaitan selepas ini lapor Kosmo! Online.
“Ini merupakan satu tempoh yang amat sukar dan penuh emosi buat Shila. Sebagai individu yang terlibat secara langsung,
“Shila mengutamakan kesejahteraan emosinya dan membiarkan proses undang-undang mengambil tempat,” kongsinya.
Aini turut memohon agar orang ramai dan pihak media memberi ruang peribadi, kefahaman, serta belas ihsan kepada Shila sepanjang tempoh ini.
“Kami berharap penyelesaian yang dicapai nanti adalah adil, penuh rasa hormat, dan saksama untuk semua pihak terlibat.
“Terima kasih atas sokongan berterusan, doa, dan empati anda,” katanya.
Baca juga: Amir Raja Lawak dedah sikap Zizan Razak, tak banyak tanya terus minta nombor akaun