Lelaki warga asing didenda RM12,000 simpan 350 liter minyak masak bersubsidi tanpa permit

Oleh MALAYSIADATELINE

Sejak kebelakangan ini, pengguna berdepan kesukaran untuk mendapatkan minyak masak peket bersubsidi di pasaran, khususnya di kawasan luar bandar.

Bekalan yang cepat habis sebaik sahaja tiba di kedai menyebabkan ramai terpaksa beratur panjang atau pergi ke beberapa lokasi berbeza untuk mendapatkannya.

Seorang lelaki warga asing kantoi menyimpan 350 kilogram minyak masak bersubsidi tanpa permit.

Tertuduh, Tabibar Rahman didenda RM12,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth selepas mengaku bersalah lapor Buletin TV3.

Hakim Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman selepas tertuduh berusia 56 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Tabibar dituduh memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak masak paket 1 kilogram sebanyak 350 unit di premisnya.

Kesalahan dilakukan di premis yang terletak di Mukim 12, Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam pada jam 2.40 petang, 6 Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Nor Azah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Baca juga: Hajiji sifatkan keadilan kes Zara Qairina tuntutan bersama, sambut baik arahan Peguam Negara