Hajiji sifatkan keadilan kes Zara Qairina tuntutan bersama, sambut baik arahan Peguam Negara

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik kenyataan terkini daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengeluarkan arahan lanjut berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Menurutnya, keadilan untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah itu merupakan tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan.

Hal ini berikutan kes kematian kanak-kanak terbabit bukan sahaja telah menyentuh perasaan rakyat terutama di Sabah malah turut mendapat perhatian luas di seluruh negara termasuklah dari negara jiran.

Sehubungan dengan itu, kerajaan Negeri Sabah meletakkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh agar keadilan untuk Allahyarhamah dapat ditegakkan.

“Kita meletakkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan secara telus dan menyeluruh agar keadilan dapat ditegakkan buat Zara dan keluarganya.

“Saya menyeru semua pihak agar terus bertenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi serta memberi ruang dan kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sedemikian susulan keputusan AGC yang berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut bagi kes kematian Allahyarham dijalankan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kenyataan dimuat naik di akaun Facebook peribadi Hajiji itu adalah yang pertama dikeluarkan oleh pemimpin berkenaan sejak kes kematian Allahyarham Zara Qairina mendapat liputan meluas di seluruh negara.

Dalam perkongsian sama, Hajiji turut menyertakan tanda pagar #JusticeForZara yang ketika ini digunakan secara meluas oleh pengguna media sosial tempatan sebagai simbol solidariti dalam menuntut keadilan buat kanak-kanak terbabit.

Terdahulu, AGC mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa untuk menggali semula jenazah Zara yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama pada Julai lalu.

Difahamkan, keperluan untuk menggali semula jenazah Zara Qairina adalah bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas kanak-kanak terbabit agar punca kematian dapat ditentukan.

Sekadar info, Allahyarhamah Zara Qairina adalah pelajar Tingkatan Satu yang dilaporkan meninggal dunia selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pada pukul 3 pagi dan didapati mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan.

Baca juga: Kes Zara Qairina: Beri sedikit masa kepada PDRM selesaikan kerjanya