Usahawan muda, Khairul Aming kembali mencipta rekod baharu apabila meraih jualan mencecah RM1.8 juta dalam tempoh kurang daripada dua minit bagi produk keluaran terbaharunya iaitu Rendang Nyet Berapi.
Pencapaian berkenaan diumumkan sendiri oleh Khairul Aming yang juga merupakan pempengaruh terkenal itu ketika melakukan sesi jualan secara langsung di platform TikTok bersempena pelancaran produk tersebut.
Sehubungan dengan itu, usahawan yang berusia 33 tahun terbabit meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa diterimanya apabila 100,000 paket Rendang Nyet Berapi habis terjual hanya dalam tempoh satu minit 18 saat.
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu juga tidak lupa untuk menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan dan pekerjanya yang bertungkus-lumus dalam proses pengeluaran produk baharu tersebut.
Jelasnya, semua pihak yang terlibat dalam pembangunan produk itu bekerja selama setahun tanpa mengambil cuti demi memastikan Rendang Nyet Berapi berkenaan dapat memenuhi standard dan jangkaan pelanggan.
“Malam ini, jumlah keseluruhan jualan adalah sebanyak RM1.8 juta. Terima kasih banyak-banyak orang baik-baik semua,” katanya dalam siaran langsung yang diadakan pada Jumaat bermula sekitar jam 9 malam itu.
Khairul Aming juga memberikan jaminan bahawa proses penghantaran produk akan mula dilakukan pada Sabtu selari dengan komitmen pasukannya dalam memastikan pelanggan menerima pesanan secepatnya.
Sekadar info, usahawan itu pada awalnya sudah berjaya meraih jualan sebanyak RM1.2 juta hanya dalam tempoh 30 saat sebaik sahaja produk berkenaan dilancarkan melibatkan 70,000 paket rendang.
Jumlah itu kemudian meningkat kepada RM1.8 juta apabila 30,000 paket rendang ditambah sebelum habis dijual dalam masa 48 saat sekali gus mencatatkan rekod jualan produk makanan terpantas oleh Khairul Aming.
Terdahulu, Khairul Aming berjaya mencuri perhatian ramai apabila menawarkan hadiah percutian ke New Zealand pada bulan Oktober depan kepada lima pembeli terpantas sempena pelancaran produk baharu tersebut.
Percutian tersebut ditaja oleh Khairul Aming dan setiap pemenang dibenarkan membawa seorang pasangan atau peneman menjadikan jumlah keseluruhan yang akan dibawa terbang ke luar negara adalah seramai 10 orang.
Baca juga: Aleeya Zailan jawab soalan netizen ‘tak kisah ke kalau staff order lobster’?