Tindakan seorang lelaki berstatus suami orang memanjat siling untuk mengelak dicekup selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah tidak berhasil apabila taktik itu dihidu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Difahamkan, taktik lelaki berusia 30-an itu terbongkar selepas anggota penguat kuasa JAINJ menemui tangga berdekatan dengan syiling yang berada di dalam keadaan terbuka di sebuah rumah terletak di Kluang, Johor.
Pemeriksaan di kediaman tersebut dijalankan sekitar jam 11 malam semalam dengan kerjasama anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selepas mendapat aduan daripada orang awam.
Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, JAINJ memaklumkan bahawa penghuni rumah mulanya tidak memberikan kerjasama dengan enggan membuka pintu meskipun diketuk selama hampir 45 minit.
“Pintu rumah telah dibuka selepas itu oleh seorang wanita yang mengatakan dia tinggal seorang diri sahaja. Penguat kuasa yang memiliki waran mahkamah lalu menggeledah kesemua tiga bilik, ruang tamu, dapur dan tandas.
“Walaupun masih belum menemukan sesiapa, penguat kuasa mensyaki kehadiran lelaki di dalam rumah tersebut dan meneruskan pencarian. Wanita ini kelihatan tak tentu arah dan gelisah seperti ada sesuatu yang disembunyikan.
“Penguat kuasa kemudian menjumpai satu tangga dan mendapati satu syiling rumah terbuka. Salah seorang dari penguatkuasa telah memanjat syiling dengan membawa lampu suluh,” katanya dalam kenyataan itu.
Seorang lelaki yang memakai kemeja-T bersama seluar berwarna hitam kemudian ditemukan bersembunyi atas siling rumah itu sebelum diminta untuk turun dengan menggunakan tangga tersebut.
Pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai isteri dan dua orang anak, manakala wanita yang menghuni rumah tersebut bukan sahaja masih berstatus isteri orang malah turut memiliki tiga cahaya mata.
“Semasa tangkapan, suami dan anak-anak wanita tiada di rumah. Lelaki ini pula menaiki motosikal dari rumahnya. Dia kemudian akan meletakkan kenderaan di hadapan sebuah kedai makan.
“Kedai ini jaraknya empat kilometer (km) daripada lokasi mereka ditangkap. Wanita itu akan datang menjemput lelaki naik kereta dan seludup masuk ke rumah. Mereka sudah rancang ‘kemas-kemas’ dan rahsiakan.
“Tetapi hujungnya mendapat juga. Pasangan ini telah ditangkap khalwat dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.” Jelas JAINJ.
Baca juga: Kak KM jelaskan punca anak berhenti kerja, nafi sebab gagal jadi kru kabin