Sultan Pahang titah laksana solat hajat di seluruh negeri, pohon keadilan buat Zara Qairina

Oleh WAN SITI AMINAH

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua masjid dan surau di seluruh negeri ini untuk melaksanakan solat hajat khas buat Allahyarhamah adik Zara Qairina.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di akaun Facebook rasmi Kesultanan Pahang, solat hajat itu dilaksanakan bertujuan untuk memohon proses keadilan buat Allahyarhamah dilancarkan serta kebenaran dapat ditegakkan.

Al-Sultan Abdullah menerusi kenyataan tersebut turut menyampaikan doa agar ibu bapa serta keluarga Allahyarhamah dikurniakan dengan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menempuh dugaan.

“Solat ini bertujuan memohon kepada Allah agar segala urusan berkaitan proses keadilan bagi Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipermudahkan serta kebenaran dapat ditegakkan.

“Paduka Baginda turut menyampaikan doa agar ibu bapa serta keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga pada 16 Julai lalu.

Allahyarhamah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya selepas menerima rawatan.

Pada Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali kubur pelajar terbabit untuk bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu bagi melengkapkan siasatan polis.

Proses penggalian di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang kemudian dijalankan pada Sabtu lalu sebelum jenazah Allahyarhamah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk proses bedah siasat.

Semalam empat pakar patologi menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina termasuk pakar Perunding Patologi Forensik daripada Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.

Proses bedah siasat yang turut disaksikan oleh peguam mewakili keluarga Zara Qairina dan empat pegawai polis itu bermula kira-kira pada jam 11 pagi semalam dan selesai sebelum pukul 8 malam.

Pengebumian semula jenazah kanak-kanak itu kemudian dilakukan di tanah perkuburan sama pada pukul 1.15 pagi tadi yang mana orang ramai termasuk ahli keluarga dan kenalan Zara menunggu di kawasan tersebut sehingga proses selesai.

Baca juga: Terkini: Jasad Zara Qairina selesai dibedah siasat