Gambar anak dilabel ‘muka pembunuh’, bapa lapor polis nafi terbabit kes Zara Qairina

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang bapa meluahkan rasa kesal apabila gambar anak perempuannya tular di platform media sosial baru-baru ini kerana dikatakan terlibat dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Facebook, bapa terbabit menafikan sekeras-kerasnya pembabitan anaknya dalam kes itu dan menunjukkan beberapa bukti termasuklah Sijil Tamat Persekolahan.

Hal ini kerana anaknya sudah berhenti belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan di Papar, Sabah pada awal tahun ini susulan menerima tawaran daripada kolej vokasional.

Menurut bapa terbabit, laporan polis juga sudah dibuat terhadap pemilik akaun TikTok yang telah memuat naik gambar anaknya di platform berkenaan dan mengaitkan kanak-kanak itu dengan kes Zara Qairina.

“Saya bapa kepada pelajar ini menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang cuba mengaitkan anak saya dengan kes Zara Qairina. Anak saya hanya bersekolah di lokasi kejadian pada tahun 2022 (Tingkatan 1) sehingga 2024 (Tingkatan 3).

“Pada awal tahun 2025, anak saya mendapat tawaran dan berpindah sekolah ke Kolej Vokasional terletak di Lahad Datu sehingga kini. Untuk makluman, laporan polis juga sudah dibuat terhadap satu akaun TikTok.

“Kerana akaun itu telah memuat naik gambar dan video anak saya. Walaupun mereka sudah memohon maaf dan memadam video tersebut, tetapi masih ada beberapa individu yang masih menyebarkan berita palsu itu,” kesalnya.

Sehubungan dengan itu, bapa terbabit memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil menyebarkan fitnah dan mengaitkan anaknya dengan kes tersebut.

Pengguna media sosial juga diberi peringatan untuk lebih berhati-hati selepas ini dengan memastikan kesahihan sesuatu berita yang diterima terlebih dahulu sebelum berkongsi dan menyebarkannya secara meluas.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap mana-mana individu yang mencuba mengaitkan anak dengan kes ini. Saya berharap kepada semua agar memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum menularkannya.” Kesalnya.

Gambar yang dimuat naik di akaun TikTok berkenaan bersama bukti bahawa pelajar terbabit sudah tidak bersekolah di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.

Baca juga: Bapa sanggup lepaskan kereta dibeli 10 tahun lalu demi pendidikan anak