Ambil dari peti besi, suami pengasas Dnars diperintah pulang wang RM1.3 juta milik isteri

Oleh MALAYSIADATELINE

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memerintahkan suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars supaya mendepositkan wang tunai milik Allahyarham isterinya, Faziani Rohban Ahmad ke dalam akaun pentadbir bersama harta pusaka arwah.

Akaun pentadbir bersama berkenaan dimiliki oleh lelaki terbabit, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 48, selaku plaintif dan cahaya mata sulung Allahyarham Faziani yang juga anak tirinya iaitu Mohamed Aqbar Hakim Jasman, 25.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Zaini Sulaiman pada Rabu selepas membenarkan permohonan daripada ahli-ahli waris Allahyarham Faziani yang mana Ahmad Shah Rizal diperintahkan untuk mendepositkan wang itu dalam tempoh 30 hari bermula hari ini.

Keluarga Allahyarham Faziani diwakili oleh peguam, Shaharuddin Mohamed dan Naimah Saupi manakala Ahmad Shah Rizal diwakili oleh peguam, Mohd Firdaus Mohd Tamrin dan Ismail Mohd, lapor Berita Harian.

“Wang tunai milik Allahyarham yang diambil oleh plaintif dalam peti besi sebelum ini yang kini berada dalam milikan plaintif secara peribadi perlu didepositkan ke akaun bank pentadbir bersama harta pusaka Allahyarham sebelum mahkamah memutuskan soal tuntutan harta sepencarian,” kata Hakim Zaini dalam penghakimannya.

Sementara itu, Shaharudin selaku peguam mewakili waris Allahyarham memaklumkan bahawa Ahmad Shah Rizal dikehendaki mematuhi perintah tersebut dan boleh dikenakan prosiding komital sekiranya gagal berbuat sedemikian.

Terdahulu, Ahmad Shah Rizal memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah yang mana salah satu aset dituntut adalah wang tunai berjumlah RM1.3 juta yang berada dalam peti besi sebelum diambil oleh lelaki terbabit.

Baca juga: Khairul Aming dedah kos R&D Rendang Nyet cecah RM1 juta, ribuan kilo ayam terpaksa dibuang!