Seorang wanita tergamam selepas mengetahui dia rupa-rupanya adalah anak angkat, sedangkan dia sudah pun tiga tahun berkahwin dan diwalikan sendiri oleh adik lelaki yang disangka adik kandung.
Segalanya terbongkar ketika adik lelakinya menemui sepucuk surat tulisan tangan semasa mengemas bilik arwah ibu.
Menurut perkongsian seorang peguam di Facebook, surat itu menyatakan ada seorang lelaki telah menyerahkan seorang bayi perempuan kepada bapanya kerana tidak mampu menjaga ramai anak.
Dia kemudian mendapatkan penjelasan bapa saudara sebelah ibu yang mendedahkan bahawa ibu bapanya pernah membawa pulang dirinya ketika berusia kira-kira lima tahun, namun tidak tahu status sebenar dirinya.
Kata bapa saudaranya, dahulu, mak dengan ayahnya pernah lari membawa diri bertahun lamanya kerana perkahwinan tidak dapat restu keluarga.
Namun selepas itu, mereka pulang membawa anak perempuan berusia lima tahun dan tiada siapa mencurigai apa-apa.
“Tiada siapa pun tahu ibu dan bapanya mengambil anak angkat. Ye la kan. Takkan pula orang yang dah lama hilang bawa diri, bila jumpa je nak tanya status anak mereka pulak.
“Selepas dengar penjelasan pak ciknya, dia pun tak tahu bagaimana nak sahkan dirinya bukan anak kandung kepada ayah dan ibunya.
“Dalam sijil kelahiran dia, namanya dibintikan kepada arwah bapanya. Cuma ada sikit keraguan bila maklumat bapa dalam sijil tersebut ditulis ‘maklumat tidak diketahui’.
“Bagi mendapatkan kepastian, dia bersama adik lelakinya melakukan ujian DNA di hospital dan keputusan menunjukkan mereka tidak mempunyai pertalian darah,” kongsinya.
Peguam Syarie, Fahmi Ramli menjelaskan jika wanita itu menyakini tentang status dirinya adalah anak angkat, maka, pernikahan antara dia dan suami tersebut disebut Nikah Fasid. Maksudnya, pernikahan mereka adalah rosak pada syarat sah nikah tersebut.
Sebabnya, wali pernikahan wanita itu adalah seorang yang tidak mempunyai pertalian darah, di mana hanya adik kandung sahaja yang layak jadi wali.
Maka, pernikahan wanita itu dengan suaminya perlu ‘Difaraqkan’ oleh mahkamah sebelum boleh bernikah semula dengan wanita tersebut membuat permohonan wali hakim kerana ketiadaan wali lain.
Jelasnya lagi, anak-anak pasangan itu tetap sah taraf kerana pernikahan mereka bukan atas dasar zina, dan si suami perlu mengakui anak-anak tersebut sebagai zuriatnya.
Baca juga: Graduan sekolah undang-undang cipta sejarah, jadi wanita bertudung pertama dinobat ratu cantik AS