Pelakon, Haneesya Hanee tampil menjelaskan pendiriannya selepas isu lama melibatkan dirinya kembali tular selepas lapan tahun.
Menurutnya, dia sebelum ini memilih untuk berdiam diri kerana mengakui kesalahan lalu, namun kali ini terpaksa bersuara kerana isu tersebut diungkit semula oleh pihak lain.
Menerusi satu video dimuat naik di TikTok, Haneesya memaklumkan dia tidak bersuara sebelum ini kerana sedar dia akan kesalahan lama.
“Dulu saya tak bersuara sebab saya mengaku salah sebab saya pergi minum. Tapi sekarang saya tak boleh terima, sebab benda ni dah berlaku lapan tahun lepas.
“Setahu saya, isu yang viral ketika ini berkaitan pergaduhan antara individu lain dengan ibunya. Bukan saya yang mulakan.
“Tidak pasti bagaimana isu lama saya minum kembali dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan video di media sosial.
Haneesya turut menafikan dakwaan bahawa dirinya memetik nama mana-mana individu tertentu atau menuduh pihak tersebut menyebarkan video kontroversinya.
Jelasnya, sewaktu dirinya pernah menjadi tular lapan tahun lalu, terdapat pihak yang menulis artikel dan menyebut namanya secara terbuka.
Namun apabila dia memberi respons kepada soalan diajukan netizen, dirinya pula dilabel sebagai bitter dan toxic.
“Saya hanya mahu mencari rezeki halal untuk keluarga, bukan untuk membayar peguam.
“Kalau saya ada kemampuan, saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat fitnah,” ujarnya.
Tambahnya, salah satu impiannya adalah mengupah pihak profesional untuk memadam video lamanya yang tersebar di internet kerana ia menjejaskan nama baiknya sejak bertahun-tahun.
“Ingat saya tak malu? Tak kecewa? Dah bertahun-tahun cuba bersihkan nama, tapi isu ni diungkit balik.
“Di TikTok, bertahun-tahun nama saya dikaitkan dengan clubbing dan ‘minum’. Baru tahun ni, bila ada drama saya viral, barulah carian tu berubah.
“Tahu betapa susahnya saya berusaha? Ingat saya suka menangis depan orang ramai macam ni? Saya nak jaga nama untuk kali ni.
“Ya, saya buat salah sekali. Tapi korang nak hukum saya sampai bila? Korang Tuhan ke,” kongsinya dalam nada sebak.
Baca juga: Ibu Anna Jobling titip ucapan hari jadi untuk anak, netizen doakan hubungan kembali pulih