Ibu kepada pelakon, Anna Jobling iaitu Ariz Arop terkejut apabila menerima surat daripada peguam memaklumkan bahawa anaknya bersedia untuk memutuskan hubungan dengannya ‘pada bila-bila masa’.
Sedangkan pada hari yang sama, sang ibu merasa sangat terharu apabila puteri kesayangannya mengirimkan doa agar dirinya sentiasa dilindungi Allah SWT melalui ucapan ulang tahun kelahirannya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram Story, Ariz menyifatkan tindakan pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling itu sebagai sesuatu perkara yang sangat mengelirukan.
“Baru semalam Mama baca, indah sangat doa Adik buat Mama di hari lahir Adik. Bukan Mama sahaja yang baca. Malah Mama percaya, ribuan peminat Adik turut membaca. Adik ucap terima kasih buat Mama kerana
melahirkan Adik.
“Adik siap doakan Mama lagi supaya diberkati dan dilindungi Allah. Tetapi semalam juga, surat dari peguam Adik yang Mama terima dengan jelas menyebut Adik pada bila-bila masa sudah bersedia untuk memutuskan secara kekal hubungan antara Adik dan Mama.
“Tindakan berlaku sekiranya Mama tak berubah. Perkara ini sangat mengelirukan,” katanya yang turut berkongsi petikan ‘anak guam kami bersedia untuk memutuskan semua hubungan secara kekal’ tertera dalam surat berkenaan.
Dalam perkongsian seterusnya, Ariz turut menulis luahan hatinya untuk Anna dengan mengatakan bahawa dirinya bukan seperti sesetengah pihak yang akan mengikuti segala kehendak pelakon terbabit kerana mahukan wang.
Sebaliknya sebagai seorang ibu, wanita itu akan sentiasa menjalankan tanggungjawabnya untuk menegur Anna jika pelakon terbabit melakukan kesalahan demi menjaga akhlaknya sebagai seseorang yang beragama Islam.
“Mama adalah ibu awak. Jadi Mama akan terus tegur atas segala salah laku, akhlak dan akidah awak sebagai seorang Islam. Jangan sombong, jangan bongkak. Semua orang boleh tinggalkan awak sekelip mata suatu hari nanti. Tetapi bukan seorang IBU.” Ujarnya.

Baca juga: Bella dedah Ayden dibuli, diejek anak yatim