Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menghantar pasukan ke Sabah untuk menjalankan siasatan tatatertib terhadap tiga pegawai polis berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pegawai yang terlibat adalah Ketua Polis Daerah, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan pegawai penyiasat berhubung ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian kanak-kanak terbabit.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, siasatan terhadap semua pegawai terbabit akan dijalankan dalam masa satu ke dua hari lagi mengikut prosedur tatatertib, lapor Berita Harian.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan JIPS ini adalah berkaitan dengan aspek penyeliaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka.
“Pasukan JIPS akan hantar pasukan ke Sabah dan kita akan buka kertas siasatan tatatertib (KST) terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintendan serta pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
“JIPS akan ambil kenyataan semula semua pihak. Pasukan ini akan ke Sabah dalam satu ke dua hari lagi. Task force (pasukan siasatan dari Bukit Aman) sebelum ini ke sana (Sabah) untuk siasatan kes dan JIPS pula (siasatan) daripada segi penyeliaan.
“Mereka (tiga pegawai terbabit) perlu bertanggungjawab. Tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk menyelia dan mendapatkan siasatan yang sepatutnya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Tiga pegawai polis terbabit difahamkan bertugas di salah sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri berkenaan dan kesemua mereka masih menjalankan tugas seperti biasa.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu pada Rabu lalu memaklumkan bahawa kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian Zara Qairina.
Hal ini berikutan SOP dengan jelas mewajibkan proses bedah siasat untuk dilakukan sekiranya punca kematian mangsa tidak diketahui ataupun wujud sebarang elemen yang mencurigakan.
Baca juga: Dr Akmal Salleh beri kerjasama penuh, tidak gentar jika disiasat bawah akta hasutan