Pelajar kolej wanita disyaki dibunuh, ditemui tergantung di kipas rumah di Subang Jaya

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pelajar kolej yang ditemui tergantung pada kipas dalam keadaan tidak bernyawa di ruang tamu rumahnya di USJ 2/1, Subang Jaya pada Khamis lalu disahkan mati dibunuh.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan bahawa jasad mangsa mulanya ditemui oleh bapanya di ruang tamu tingkat dua rumah sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan tersebut pada pukul 11.55 pagi yang mana bapa mangsa memberitahu anaknya berusia 20-an terbabit ditemui mati tergantung di kipas.

Difahamkan, mangsa tinggal di rumah milik keluarga itu bersama kakak dan sepupunya namun ketika mayatnya ditemukan, wanita terbabit berada di kediaman tersebut seorang diri, lapor Berita Harian.

“Pemeriksaan awal di lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang. Punca kematian disahkan akibat pendarahan di sekeliling hyoid bone (tulang leher).

“Manakala kecederaan pada otot dan tulang adalah kesan daripada manual strangulation (cekik). Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Berita Harian.

Menurutnya, tiada kehilangan harta benda dilaporkan di kediaman itu manakala siasatan kes kematian pelajar terbabit dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi 03-278627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zainol Aazizi Abu Bakar 013-3227632.

Baca juga: Dulu projek juta-juta, kontraktor jatuh miskin selepas beristeri dua