Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa syukur apabila anak sulungnya, Ammar Ahyan, 17, bakal memulakan pengajian di sebuah unversiti swasta.
Dalam satu podcast memetik OhBulan!, Aliff menitipkan pesanan kepada Ammar supaya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan membanggakan kedua ibu bapa.
Beliau tidak mahu anaknya itu mengikut jejak langkahnya yang gagal dalam pelajaran.
“Kepada anak saya, Ammar Ahyan. Abah tidak minta lebih, abah belajar tidak tinggi dan gagal dalam SPM, jadi awak banggakan lah abah dan mama.
“Duit boleh cari, tapi ilmu dan pendidikan tidak boleh dibeli. Abah berkerja keras siang malam untuk besarkan awak dan adik-beradik yang lain.
“Andai abah mati suatu hari nanti, harap apa yang abah tinggalkan untuk awak dan adik-adik cukup,” katanya.
Bercerita lanjut, ayah enam anak ini juga menjelaskan dirinya tidak pernah memaksa anak-anak untuk menyambung legasi perniagaannya, sebaliknya memberi ruang untuk mereka memilih minat dan cita-cita masing-masing.
“Saya tidak pernah nak suruh anak-anak sambung legasi saya, saya sentiasa sokong apa sahaja minat mereka. Yang penting mereka mahu belajar dan terus menuntut ilmu,” katanya lagi.
Aliff berkata demikian usai menjadi tetamu di podcast Show Dalam Bilik yang bakal disiarkan di YouTube OhBulan!
Baca juga: Pelawak veteran hilang tiga jari kaki, tak patah semangat tetap ambil ‘job’ berlakon