Pelanggan tampal kod QR palsu di kaunter, peniaga sempat rugi RM6.60

Oleh MAISARAH AISYA

Dalam era digitalisasi kini, semakin banyak kes melibatkan pembelian makanan dengan menggunakan resit palsu yang ditunjukkan secara dalam talian.

Taktik licik ini bukan sahaja merugikan peniaga, malah menunjukkan bagaimana ada pihak sanggup mengambil kesempatan terhadap kemudahan teknologi.

Tular satu kes dimana seorang lelaki berpura memesan makanan sebelum menampal kod QR milik sendiri di kaunter bayaran lapor Harian Metro.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Lembah Klang kelmarin, lelaki tersebut cuba mengaut untung mudah.

Lelaki berkenaan dikatakan mensasarkan premis milik Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak di ibu negara.

Jelas Mohamed Mosin, lelaki berkenaan masuk ke restorannya dan memesan tiga bungkus nasi lemak.

“Ketika petugas restoran sibuk menyediakan pesanan, lelaki itu kemudian mengeluarkan kod QR dan menampalnya di kaunter bayaran.

“Dia kemudian memberi alasan untuk mengambil wang di kereta yang terletak di luar sebelum terus beredar.

“Kejadian hanya disedari apabila ada pelanggan lain yang membuat bayaran, namun ia tidak masuk ke akaun restoran.

“Bila diperiksa, barulah pekerja saya dapati, kod QR lain ditampal pada kaunter,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Beliau turut membuat aduan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung kejadian itu selepas menyedari taktik berkenaan.

Malah ada juga pelanggan yang menggunakan resit lama dan apabila terlalu ramai pelanggan, pekerja tidak dapat mengesahkan duit masih dan percaya mereka sudah bayaran.

“Dia sempat dapat RM6.60. Saya difahamkan lelaki itu juga menggunakan taktik sama di sebuah premis di Rawang sehari sebelum itu.

“Bayangkan jika dia letak kod QR sendiri di berpuluh kedai, berapa banyak yang dia dapat.

“Saya harap pemilik premis atau pengusaha restoran peka dengan keadaan ini bagi mengelak perkara yang tidak diingini

“Ini antara cabaran pengusaha restoran hari ini. Kita ke arah digitalisasi sepenuhnya, tapi ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang untuk menipu,” katanya.

Baca juga: Kes Zara Qairina: 5 remaja mengaku tak bersalah, didakwa guna perkataan mencela