Kes Zara Qairina: 5 remaja mengaku tak bersalah, didakwa guna perkataan mencela

Oleh MALAYSIADATELINE

Lima remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Pengakuan tersebut dibuat oleh semua remaja yang tidak didedahkan identitinya itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina yang mungkin menyebabkannya merasa terganggu.

Pertuduhan terhadap remaja yang tidak boleh didedahkan identiti mengikut Akta Kanak-kanak 2001 itu dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Kejadian didakwa berlaku pada 15 Julai lalu kira-kira pada pukul 10 malam sehingga 11 malam di blok asrama sebuah sekolah agama di Papar dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, lapor Berita Harian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan manakala Datuk Ram Singh bertugas sebagai peguam bela.

Menurut Nor Azizah Mohamad, mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan deposit RM1,000 bersama seorang penjamin tempatan.

Mahkamah dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup itu turut menetapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Baca juga: 5 remaja terlibat buli Zara tiba di mahkamah