Kes Zara Qairina: Tertuduh bukan anak VVIP, peguam berkhidmat secara pro bono

Oleh MALAYSIADATELINE

Peguam terkenal, Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang tertuduh dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir menegaskan bahawa anak guamnya bukanlah anak kepada mana-mana individu ternama atau VVIP.

Malah kesemua peguam yang mewakili lima remaja didakwa dalam kes tersebut tampil memberikan khidmat pembelaan kepada tertuduh secara pro bono atau tidak mengenakan sebarang bayaran.

Perkara itu diakui Datuk Ram Singh tanpa mendedahkan identiti atau status tertuduh ketika ditemui pihak media sebelum prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu bermula pagi semalam, lapor New Straits Times.

Pro bono merujuk kepada perkhidmatan yang diberikan secara percuma oleh pihak peguam kepada mana-mana individu atau organisasi yang tidak mampu membayar yuran guaman.

“Anak guam kami bukan anak VVIP, sebaliknya seorang remaja yang juga berhak mendapat pembelaan di sisi undang-undang. Kami didekati oleh keluarga mereka untuk mendapatkan bantuan guaman.

“Jadi bersama peguam lain, kami mewakili mereka secara pro bono,” katanya yang mewakili salah seorang daripada lima tertuduh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan memetik laporan New Straits Times.

Empat remaja lain yang dituduh dalam kes tersebut turut diwakili secara percuma oleh peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.

Kesemua peguam itu menegaskan bahawa anak guam mereka bukan daripada keluarga VVIP manakala Azhier pula memaklumkan tertuduh berhak diberi peluang untuk mengemukakan keterangan bagi menyokong pembelaan.

“Anak guam kami berhak mendapat perlindungan yang dijamin undang-undang, termasuk hak untuk mengemukakan bukti dan keterangan di mahkamah.” Ujarnya.

Terdahulu, lima remaja yang didakwa atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap terhadap Allahyarham Zara Qairina mengaku tidak bersalah di Mahkamah Juvana Kota Kinabalu, semalam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan deposit RM1,000 bersama seorang penjamin tempatan manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September ini.

Zara Qairina Mahathir, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu sehari selepas menerima rawatan ekoran ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai di asrama sekolah di Papar, Sabah.

Baca juga: Kes Zara Qairina: Kenali Datuk Ram Singh, peguam berprofil tinggi wakili tertuduh pertama