Kemunculan peguam terkenal, Datuk Sri Ram Singh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah sekitar jam 9.05 pagi tadi telah menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial tempatan.
Hal ini berikutan peguam terbabit hadir di mahkamah itu untuk mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa berhubung kes buli terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Orang ramai berpendapat bahawa tertuduh itu bukanlah ‘orang biasa-biasa’ memandangkan keluarganya mampu melantik peguam yang mengendalikan kes-kes berprofil tinggi di Sabah untuk mewakili remaja terbabit.
Ramai juga pengguna membuat andaian bahawa Ram Singh mungkin menjalankan tugas secara ‘pro-bono’ atau berkhidmat tanpa bayaran memandangkan kes itu mendapat perhatian umum sehingga ke luar negara.
Perbincangan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai latar belakang pengamal undang-undang berkenaan terutamanya berhubung kes yang pernah diwakilinya sebelum ini selaku peguam bela.
Antara kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikan oleh Ram Singh adalah kejadian pembunuhan pembantu rumah dikenali sebagai Nur Afiyah Daeng Damin di sebuah kondominium di Penampang, Sabah pada Disember 2021.
Dalam kes tersebut, Ram Singh mewakili tertuduh pertama iaitu Mohammad Ambree Yunos @ Unos, manakala Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong selaku tertuduh kedua pula diwakili peguam, Datuk Seri Rakhbir Singh.
Bekas pasangan suami isteri itu kemudian dihukum penjara selama 34 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 20 Jun 2025 yang mana Ambree turut dikenakan hukuman 12 sebatan rotan.
Manakala bekas isterinya, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong yang juga bergelar peserta Masterchef Malaysia itu dikecualikan daripada hukuman sebatan lazimnya wajib dikenakan mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah disebabkan jantinanya.
Ram Singh turut berperanan sebagai peguam bela dalam kes melibatkan pendakwah bebas terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim yang berhadapan dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Tenom.
Dalam kes itu, Ebit didakwa menghantar gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Peguam terbabit turut mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah iaitu Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.
Dalam prosiding kes yang disebut pada 30 Jun lalu itu, kedua-dua ahli politik berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan dengan permohonan lesen carigali mineral.
Terdahulu, pihak polis telah menafikan pembabitan orang kenamaan dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir seperti yang didakwa oleh orang ramai.
Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir juga menyangkal dakwaan wujud campur tangan politik atau kehadiran individu berpangkat tinggi dalam kes kematian tersebut.
Baca juga: Kes Zara Qairina: 5 remaja mengaku tak bersalah, didakwa guna perkataan mencela