Erra Fazira akhirnya dedah rahsia, 8 tahun elak berjumpa lepas putus tunang dengan Awie

Oleh MAISARAH AISYA

Fasa perpisahan, baik bercerai, putus tunang atau putus cinta pastinya memberi kesan kepada seseorang apatah lagi keputusan itu dibuat dalam keadaan yang menyakitkan.

Buat pelakon dan penyanyi poular, Erra Fazira mendedahkan dia mengambil masa lapan tahun untuk ‘move on’ selepas putus tunang dengan bintang rock ternama, Datuk Awie.

Kongsinya dalam audio siar, selama lapan tahun itu dia akan cuba sedaya upaya untuk tidak bertembung dengan bekas tunangnya lapor Kosmo! Online.

“Kami berpisah dengan cara yang tak ‘best’. Jadi kami saling elak mengelak dan tidak bertegur sapa selama lapan tahun.

“Pernah kami terlibat dalam satu persembahan yang sama, tetapi saya pastikan kami tidak bertembung di belakang pentas. Saya akan lari kalau nampak Awie.

“Ketika itu saya mahu menjaga hati kerana takut terluka,” katanya dalam sebuah rancangan audio siar.

Segalanya berubah selepas dia menerima undangan sebuah program yang dihoskan oleh Awie, dia menganggap sudah sampai masanya untuk berhenti mengelak bekas tunangnya.

“Selepas lapan tahun saya rasa saya sudah okey dan ‘move on’. Saya rasa sampai bila saya nak kena lari. Jadi saya terima untuk terlibat dalam program yang dihoskan oleh Awie.

“Tak dapat dinafikan saya berdebar ketika itu. Saya pasti Awie juga berasakan perasaan yang sama sebab kali pertama nak bertemu selepas sekian lama.

“Tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Ketika itu juga Awie terus lamar saya untuk terlibat dalam sebuah projek,” kongsinya.

Baca juga: Abby Abadi akui anak perlu diselamatkan, kirim doa agar berjaya keluar dari hubungan toksik