Pakar Perlembagaan menyifatkan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) diperlukan untuk menguruskan pemulihan bangunan-bangunan lama yang terdapat di bandar-bandar seluruh negara ini.
Ini kerana, sehingga kini tidak ada sebarang undang-undang yang boleh menguruskan hal ini dengan lengkap dan sempurna.
“Adakah RUU ini diperlukan? RUU ini perlu jika ada lompong dalam undang-undang sedia ada dan undang-undang sedia ada tidak dapat menangani masalah yang ada,” kata Dr Zulqarnain Luqman berkaitan dengan pembahasan tentang RUU PSB yang sedang hangat sekarang.
Sesetengah pihak berkata, akta ini tidak diperlukan atau boleh ditangguhkan ketika penduduk Kuala Lumpur khasnya penghuni flat-flat lama mendesak kerajaan agar ia disegerakan.
Menurut Dr Zulqarnain, akta ini diperlukan kerana kerangka undang-undang dalam RUU ini meletakkan pengawalseliaan itu di bawah pihak eksekutif dan bukannya ke atas MC (jawatankuasa pengurusan bersama).
“Ini memudahkan untuk pengawalan perancangan bandar dan penyaluran dana. Adalah amat sukar untuk MC itu sendiri mengeluarkan dana jutaan ringgit untuk pembangunan semula.
“Dan amat sukar untuk MC yang tidak ada pengalaman dan tidak bergaji untuk menyelia tugas pemaju.
“Kebarangkalian MC ditipu oleh pemaju juga lebih tinggi berbanding jika tugas berunding itu diletakkan di bawah satu Jawatankuasa khas di bawah Persekutuan atau Negeri,” katanya.
Tentang persetujuan pula, beliau menjelaskan, ambang persetujuan ini adalah syarat untuk memulakan rundingan.
“Ambang persetujuan itu adalah syarat untuk memulakan rundingan projek tersebut (lihat S. 19(3)). Jadi atau tidak projek itu bergantung kepada hal-hal lain,” katanya.
Hal ini dijelaskan di bawah S. 17 yang meletakkan syarat kepada pemaju untuk:
a) Berunding dengan orang berkepentingan seperti penduduk dan pemilik
b) mendapatkan persetujuan ambang.
c) mendapatkan laporan jurutera.
d) mengenal pasti kemerosotan bangunan sama ada struktur atau infrastruktur.
e) mengenal pasti sama ada banguan itu akan menyebabkan kacau ganggu.
Pakar Perlembagaan ini juga menjelaskan, RUU ini tidak akan menukarkan tanah rezab Melayu menjadi bukan rezab Melayu
Ini kerana bukan kuasa Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan/ Negeri untuk menentukan hal tersebut.
“Kuasa menukarkan status tanah rezab Melayu ini terletak di bawah Pihak Berkuasa Negeri masing-masing,” katanya.
KLIK UNTUK BACA TULISAN PENUH DI SINI
Semalam, sekumpulan penduduk flat di Kuala Lumpur datang ke bangunan Parlimen bagi memohon agar RUU ini dipercepatkan.
“Kita dah tak boleh tunggu dah lama-lama. Kita ni dah tua, sempat ke tak sempat kita duduk. Flat yang ada sekarang ialah naik tangga. Orang tua dah tak kuat nak naik tangga,” kata wakil mereka dalam satu himpunan di hadapan bangunan Parlimen pagi Rabu semalam.
Difahamkan, mereka yang berhimpun melibatkan penghuni flat Taman Sri Indah, Taman Desa Bakti Selayang serta Taman Maluri.
Ramai penduduk flat di Kuala Lumpur juga marah kepada ahli-ahli Parlimen di negeri-negeri pantai timur dan utara yang membantah RUU ini.
“Mereka tak rasa apa yang kami rasa, bolehlah bantah, lepas tu apa cadangan balas mereka. Yang peliknya masa mereka jadi kerajaan dulu, ajak juga kami sokong akta ini, tetapi sekarang bantah pula,” kata seorang lagi peserta perhimpunan itu, Puan Norli Hamid.