PM Anwar umum akses percuma perisian AI untuk belia, ini fakta yang anda perlu tahu

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pembukaan akses langganan percuma kepada perisian kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh tiga bulan menerusi program AI untuk rakyat.

Menurut Anwar, program ini adalah antara langkah awal ke arah melahirkan ekosistem Malaysia AI yang inklusif dan mampu memperkasakan generasi muda menghadapi cabaran ekonomi digital masa depan.

Inisiatif tersebut diumumkan Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan ketika berucap dan menyempurnakan Majlis Peluncuran AI Malaysia di Menara Cyber Axis, Cyberjaya, hari ini.

Apakah Program AI untuk Rakyat?

  • Program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang Kecerdasan Buatan (AI) sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan teknologi pada masa depan.
  • Bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai AI kepada semua lapisan masyarakat melangkaui bidang mahupun latar belakang untuk membina ‘Digital Minda Pertama’.

Siapakah yang akan menerima manfaat?

  • Kerajaan menganggarkan sehingga 100,000 belia berusia antara 18 sehingga 30 tahun akan mendapat manfaat daripada program tersebut pada peringkat awal pelaksanaannya.
  • Belia yang layak akan menerima modul merangkumi aspek penting termasuk keselamatan AI, AI generatif, keselamatan siber serta penggunaan kemudahan awan (cloud) bagi memastikan peserta memiliki asas pengetahuan kukuh.

Syarat dikenakan kepada peserta program;

  • Kemudahan untuk menggunakan perisian ini hanya akan diberikan kepada peserta yang berjaya melengkapkan semua modul latihan khas berkaitan AI dalam tempoh ditetapkan.
  • Syarat ini penting dalam memastikan golongan muda bukan sahaja menggunakan teknologi AI, malah memahami aspek keselamatan, etika dan penggunaan teknologi berkenaan secara bertanggungjawab..

Anwar dalam pengumuman tersebut turut menegaskan bahawa agenda pendigitalan negara tidak boleh mewujudkan jurang baharu dalam masyarakat, sebaliknya perlu memastikan akses kepada teknologi AI dapat dinikmati secara lebih meluas.

“Ini satu permulaan yang sangat penting untuk masa depan negara. Kita mahu melahirkan generasi yang celik AI dan bersedia menghadapi perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas.” Ujar pemimpin nombor satu negara itu.

Baca juga: Anwar sahkan avatar PMX AI sedang ditambah baik, bakal beroperasi semula