Aisar Khaled dikecam, rakam ‘content’ di kubur ‘rider’ maut dilanggar kenderaan taktikal polis

Oleh MALAYSIADATELINE

Kematian penunggang pengangkutan bermotosikal di atas talian (ojol) akibat dilanggar kenderaan berperisai yang dikendalikan anggota polis Indonesia di Pejompongan, Jakarta Pusat cukup meruntun jiwa orang ramai.

Namun di saat seluruh rakyat Indonesia sedang berduka, pempengaruh berasal dari Malaysia iaitu Aisar Khaled turut dijadikan topik perbincangan hangat di kalangan netizen seberang berhubung insiden itu terutamanya di platform X.

Hal ini ekoran tindakan pempengaruh berusia 25 tahun itu merakam proses pengebumian penunggang Gojek berkenaan iaitu Allahyarham Affan Kurniawan sebelum dimuat naik di media sosial dan meraih belasan juta tontonan.

Rata-rata pengguna platform X dari Indonesia berkongsi pendapat bahawa tragedi memilukan itu tidak sewajarnya dijadikan content dan menyifatkan tindakan Aisar sebagai pansos (panjat sosial) atau sekadar mencari publisiti.

Ramai juga pengguna mengakui muak dengan sikap Aisar dan berharap agar pempengaruh berkenaan lebih peka dengan situasi sekeliling tanpa berniat untuk memanfaatkan keadaan atau ‘dikembalikan’ sahaja ke Malaysia.

“Kalau dia tak hadir pun, bantuan dari warga sekitar situ sudah cukup (untuk jalankan kerja-kerja pengebumian). Tetapi dia sepertinya pura-pura sibuk membantu biar nampak macam turut menyumbang tenaga,” kesal seorang pengguna.

“Kamu semua baru sedar ke? Dia nak bersedekah di Indonesia sebab dapat trafik dan ‘engagement’ besar di sini. Jadi memanfaatkan perkara itu untuk mendapatkan pundi wang. Dia keluar 100 juta rupiah, dapat balik 1 milyar (bilion) rupiah.” Dakwa pengguna lain.

Komen lain yang ditinggalkan oleh pengguna platform X berhubung content pengebumian itu.

Terdahulu, Allahyarham Affan dilaporkan maut akibat dilanggar oleh kenderaan taktikal jenis Barracuda yang dikendalikan oleh tujuh anggota polis berhampiran Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Khamis lalu.

Ketika kejadian, masyarakat Indonesia ‘turun padang’ untuk melakukan bantahan besar-besaran berhubung pengumuman insentif Elaun perumahan bulanan baharu buat Ahli Parlimen Indonesia berjumlah 50 juta rupiah (RM12,957) iaitu hampir 10 kali ganda daripada gaji minimum di Jakarta.

Allahyarham Affan dilaporkan tidak mengambil bahagian dalam bantahan tersebut sebaliknya secara kebetulan berada di lokasi kejadian untuk menghantar pesanan pelanggan sebelum dilanggar kenderaan taktikal milik Briged Mobil (Brimob) Polis Metro Jaya.

Baca juga: Anggap kenyataan Fara sebagai fitnah, Shuk akan ambil tindakan undang-undang