Anggap kenyataan Fara sebagai fitnah, Shuk akan ambil tindakan undang-undang

Oleh MAISARAH AISYA

Pengacara dan pelawak, Shuk Sahar, tampil mengeluarkan kenyataan media susulan dakwaan fitnah dan tuduhan berunsur jahat dikeluarkan isterinya Fara Salleh.

Semua kenyataan itu didakwa dilemparkan terhadap dirinya di media sosial serta beberapa platform hiburan.

Dalam kenyataannya, Shuk menjelaskan bahawa dia sebelum ini memilih untuk berdiam diri kerana mahu menyelesaikan perkara peribadi dengan cara yang baik dan tertutup.

Namun, keadaan semakin berlarutan hingga melibatkan keluarga terdekatnya.

“Saya mendapati perkara ini masih berterusan dan melampaui batas sehinggakan kenyataan serta gelaran yang tidak sepatutnya ditujukan kepada ibu bapa serta anak saya,” jelasnya.

Shuk turut menegaskan bahawa isu berkaitan pengesahan pernikahan dan perceraian masih dalam proses perbicaraan mahkamah.

Disebabkan itu, dia meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, komen, atau andaian yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak.

Menurut Shuk, langkah tersebut penting bagi menghormati institusi kehakiman negara dan mengelakkan sebarang salah faham yang boleh merumitkan keadaan.

“Demi menegakkan kebenaran dan atas nama keadilan, saya akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya kepada pihak dan pihak-pihak yang berkenaan,” tambahnya lagi.

Tegas Shuk, dia berharap agar masyarakat serta pihak media menghormati ruang peribadinya.

Malah untuk beri laluan kepada proses mahkamah untuk membuat keputusan muktamad.

Baca juga: Atikah Suhaime dedah sikap sebenar Intan Najuwa, mohon jangan banding-bandingkan