Pelakon, Nora Danish kembali mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas berkongsi beberapa keping gambar yang diambilnya di sepanjang bulan Ogos di akaun media sosial Instagram miliknya.
Namun salah satu daripada gambar itu berjaya menarik perhatian pengikutnya ekoran memperlihatkan separuh wajah seorang pemuda yang berkaca mata tetapi tidak dapat dipastikan identitinya.
Gambar tersebut telah mencetuskan spekulasi terutama dalam kalangan peminat yang membuat dugaan bahawa pemilik nama sebenar Nora Mohd. Danish Hanif itu sudah menemukan pengganti selepas setahun bercerai.
Perkongsian gambar yang diiringi dengan lagu romantis Surat Hati nyanyian asal Devano itu juga turut diselitkan bersama foto mengandungi tulisan ringkas membawa makna Babak baharu (New chapter), Bismillah.
Perkara itu seakan-akan memberi bayangan bahawa Nora akan memasuki babak baharu di dalam kehidupannya selain mengenakan kaca mata serupa dengan lelaki misteri terbabit sekali gus menguatkan dugaan netizen.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata peminat teruja dan tumpang gembira dengan perkembangan terbaharu Nora selain mendoakan yang terbaik buat kehidupan pelakon berkenaan.
“Semoga yang baik-baik sahaja buat Kak Nora Danish. Semoga Allah kurniakan kebahagian di dunia dan akhirat. Suka tengok penghijrahan Akak. Peluk hangat,” kata seorang peminat yang tumpang gembira.
“Awhh. Jika benarlah itu dia, sudah ku sangka dari awal. Semoga yang baik-baik.” Kongsi pengguna lain yang mendakwa sudah dapat menduga hubungan mereka selain turut mendoakan terbaik.
Sebelum ini, pelakon yang mula dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama Puteri itu pernah membuat kenyataan bahawa pintu hatinya belum tertutup untuk kembali berumah tangga selepas dua kali melalui kegagalan perkahwinan.
Terdahulu, Nora dan bekas suami iaitu Nedim Mohamad Nazri bercerai secara baik di atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada Jun 2024.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun berumah tangga, mereka berdua dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia 7 tahun.
Nora juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram atau lebih dikenali sebagai Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal kini berusia 16 tahun sebelum berpisah pada 2008.
Baca juga: Kuasa viral kes Zara Qairina, makin ramai ibu bapa berani lapor polis kes buli di Kelantan