Mahkamah Tinggi tak benar peguam wakili 5 tertuduh masuk inkues Zara Qairina, batal keputusan koroner lama

Oleh MALAYSIADATELINE

Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan koroner yang sebelum ini membenarkan peguam mewakili lima remaja didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar terbabit.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol hari ini selepas mendengar hujahan daripada pasukan peguam yang mewakili keluarga pelajar tingkatan Satu di sebuah sekolah agama terletak di Papar terbabit dan Persatuan Guaman Sabah (SLS).

Walau bagaimanapun, pihak mahkamah membenarkan permohonan tersebut untuk dikemukakan semula di hadapan koroner baharu yang mengendalikan prosiding inkues kematian remaja berusia 13 tahun terbabit bermula esok.

Duncan menjelaskan bahawa koroner sebelum ini telah memberi kebenaran kepada peguam yang mewakili lima remaja terbabit mengambil bahagian dalam prosiding inkues untuk kes kematian Allahyarham Zara Qairina sebagai pihak berkepentingan. 

Namun koroner terbabit mengambil keputusan menarik diri daripada mendengar kes itu di atas alasan terdapat kepentingan peribadi yang menyebabkan permohonan terbaharu perlu dikemukan semula kepada mahkamah, lapor Berita Harian.

“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues itu adalah dibatalkan. Jadi, pihak-pihak bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka kepada koroner baharu.

“Memandangkan beliau (koroner) itu memutuskan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes ini, adalah tidak wajar untuk beliau membuat keputusan terhadap isu substantif yang sepatutnya diputuskan oleh koroner baharu.

“Ia seolah-olah membuat keputusan bagi pihak pengganti dan boleh menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya memetik laporan Berita Harian berhubung permohonan semakan terhadap keputusan koroner sebelum ini.

Mahkamah juga menolak bantahan awal dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap pembabitan SLS dalam kes itu yang mana mereka yang hadir sebagai pemerhati (watching brief) turut berperanan memberi bantuan kepada mahkamah jika diminta.

Menurut Duncan, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil dan menyemak semula rekod mana-mana prosiding mahkamah bawahan bagi memastikan ketepatan, kesahan atau kewajaran sesuatu keputusan, hukuman atau perintah, serta keteraturan prosiding yang dijalankan.

“Kuasa penyeliaan ini boleh digunakan oleh mahkamah atas inisiatif sendiri. Jadi, mana-mana pihak boleh membawa sesuatu isu kepada perhatian mahkamah untuk dipertimbangkan. Memandangkan isu ini membabitkan kepentingan awam dan peranan SLS sebagai penjaga kepentingan itu.

“Saya berpendapat isu locus standi (hak berada di mahkamah) tidak seharusnya menghalang mereka daripada membangkitkan isu ini. Maka saya menolak bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya lagi berhubung isu tersebut.

Pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan itu berpendapat bahawa SLS dalam kapasiti mereka sebagai pemerhati tidak mempunyai locus standi (hak mencabar di mahkamah).

SLS sebelum ini mengemukan permohonan semakan terhadap keputusan koroner yang membenarkan peguam mewakili lima remaja untuk diterima sebagai pihak berkepentingan pada prosiding inkues, serta keputusan koroner untuk menarik diri daripada terus mendengar kes itu.

Nahra yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari dan Dacia Jane Romanus pula berhujah mengenai peranan pemohon sebagai pemerhati hanya untuk memerhati prosiding inkues, tanpa hak membuat permohonan substansi.

Berhubung permohonan semakan itu, SLS mengemukakan dua persoalan undang-undang iaitu adakah koroner melakukan kesilapan dari segi undang-undang apabila membenarkan peguam bagi pihak lima remaja didakwa terbabit diterima sebagai pihak berkepentingan pada prosiding inkues.

Persoalan seterusnya adalah sekiranya keputusan koroner itu kekal sah serta mengikat dari sudut undang-undang, memandangkan beliau kemudian menarik diri daripada mendengar kes itu kerana mungkin berlaku konflik kepentingan.

Permohonan semakan keputusan koroner itu difailkan secara berasingan oleh SLS dan pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

Pasukan SLS diwakili oleh Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin bersama Jamadi Saleh, Dominic Ghani dan Nabila Norsahar, manakala peguam bagi keluarga arwah Zara Qairina pula membabitkan Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser serta Elhanan James.

Pasukan peguam bela, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan pula mewakili seorang daripada remaja yang didakwa terbabit kes buli tersebut manakala Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah pula mewakili empat lagi remaja yang terbabit kes sama.

Terdahulu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz pada 28 Ogos lalu bertindak sebagai Koroner memutuskan prosiding inkues akan diteruskan seperti dijadualkan namun akan didengar oleh koroner baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Tarikh prosiding inkues tersebut ditetapkan bermula pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September depan untuk menentukan punca kematian sebenar Zara yang maut selepas sehari dirawat di hospital akibat terjatuh dari tingkat tiga asrama.

Baca juga: Wajah dan suara dipalsukan guna AI, ahli politik buat laporan polis