Sejak kebelakangan ini, taktik penipuan semakin licik apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk meniru wajah dan suara ahli politik.
Video atau rakaman suara palsu ini kemudian disebarkan bagi memperdaya orang ramai kononnya ia mesej rasmi atau tawaran sah daripada individu berkenaan.
Terkesan dengan video AI yang tersebar, seorang Ketua UMNO bahagian Padang Serai tampil membuat laporan polis lapor Harian Metro.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, pengadu berusia 50 tahun itu menyedari kejadian terbabit ketika berada di rumahnya di Taman Bidara, Kulim, pada 31 Ogos lalu.
Pengadu dimaklumkan sendiri oleh ahli UMNO Bahagian Padang Serai mengenai kewujudan dua akaun palsu yang menggunakan namanya.
Akaun tersebut dikenal pasti didaftarkan atas nama TikTok 1: tiktok.com/@chegumadi dan TikTok 2: tiktok.com/@cheggumadi.
“Akaun palsu ini dipercayai diwujudkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan penipuan kewangan (scam).
“Kandungan yang dimuat naik bersifat mengelirukan dan boleh memberi persepsi salah kepada masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Baderulhisham, pengadu bimbang jika kedua akaun tersebut digunakan untuk memperdaya orang ramai kononnya membabitkan pengadu dalam urusan bantuan kewangan.
“Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian yang menjanjikan bantuan kewangan.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pujukan atau rayuan yang disampaikan melalui video yang membabitkan ahli politik atau selebriti.
“Kandungan video berkenaan mungkin sudah disunting atau dihasilkan dengan AI,” katanya.