Wanita terkejut kereta jadi ‘kanvas’, budak selamba conteng masa mak bapa tengah sibuk

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah tentu ada waktunya ibu bapa terlepas pandang gelagat anak ketika sibuk menguruskan hal lain.

Namun, kealpaan seketika itu mampu mengundang masalah besar apabila anak tanpa sedar melakukan perbuatan yang merugikan, termasuk merosakkan harta benda awam atau milik orang lain.

Seorang pemilik kenderaan, @syitaritory menerusi Threads berkongsi pengalaman mengejutkan apabila mendapati keretanya dipenuhi garisan dan contengan selepas keluar membeli-belah.

“Balik ke kereta, tengok ada garisan belah kanan. Double check, rupanya sekeliling kereta digaris. Siap ada contengan dekat belah kiri bonet depan,” katanya di Threads.

Curiga dengan keadaan itu, pemilik berkenaan kemudian membuat semakan melalui rakaman kamera papan pemuka (dashcam).

Wanita tersebut mendapati kejadian berlaku ketika sebuah keluarga di kereta bersebelahan sedang sibuk menguruskan barangan daripada troli.

“Check dashcam, kereta sebelah family nak masukkan barang daripada troli tapi troli tak lepas.

“Kiri kanan depan belakang diorang selit troli, tapi dah memang petak parking, mana la troli lepas.

“Budak tu ambil kesempatan buat karya dekat kereta masa keluarga dia sibuk dengan troli,” ujarnya.

Bagaimanapun, pemilik berkenaan bernasib baik kerana kesan contengan tersebut dapat dibersihkan segera tanpa meninggalkan kerosakan yang serius.

“Nasib baik bila sental, contengan hilang. Harapnya tak ada kesan calar yang ketara,” katanya lagi.

Baca juga: Selepas ini kerajaan mungkin guna cara ini untuk rakyat Malaysia beli minyak masak paket, petrol RON95