Selepas ini kerajaan mungkin guna cara ini untuk rakyat Malaysia beli minyak masak paket, petrol RON95

Oleh KIM SYAZIE

Minyak masak paket bersubsidi dan petrol RON95 sering disalahguna oleh warganegara asing sehingga mendatangkan kerugian berpuluh juta ringgit sebulan kepada kerajaan.

Bagi menangani permasalahan serius dan aduan ramai mengenai isu ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilaporkan sedang membangunkan satu sistem di mana ia dapat mengesan sama ada pembeli adalah warganegara Malaysia atau bukan.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, sistem itu kini masih lagi sedang diuji sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

“Kita sedar apa yang dikhuatiri adalah warga asing mendapat akses kepada barang kawalan seperti minyak masak, gula, petrol dan banyak lagi.

“Setiap satu barang kawalan ini ada masalah unik masing-masing, tetapi setakat ini bekalan gula mencukupi, jadi ia tak terlalu menjadi isu.

“Namun untuk minyak masak paket, ia jadi isu kepada rakyat Malaysia kerana mereka susah nak akses apabila warga asing yang membelinya,” katanya menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mewakili KPDN di Dewan Negara, semalam.

Mengenai aplikasi itu, pengguna mesti mengimbas kod QR dan hanya dibenar membuat pembelian apabila disahkan warganegara.

Kata Fuziah, aplikasi sama akan turut digunakan bagi pembelian petrol.

“Insya-Allah tak lama lagi bagi pembelian RON95, akan guna pendekatan sama iaitu mesti ada semakan kad pengenalan di stesen minyak.

“Ini perancangan kita akan datang dalam usaha melindungi barang kawalan subsidi supaya tak mengalir kepada warga asing dengan setiap satu daripadanya (barang kawalan) ini ada strategi (pelaksanaan) berbeza,” katanya lagi.

Baca juga: Budaya curi parcel, pelanggan persoal integriti runner