Tular di media sosial sebelum ini seorang pengguna media sosial memaklumkan ada pasar raya menaikkan harga barangan asas Rahmah.
Pasar raya terkenal, Giant tampil memohon maaf kepada pelanggan selepas tular di media sosial mengenai harga jualan beras yang didakwa jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.
“Kepada semua pelanggan setia Giant dan seluruh rakyat Malaysia, kami sedar akan siaran-siaran tular di media sosial mengenai harga jenama beras tertentu di kedai kami.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kerana membawa perkara ini kepada perhatian kami dan memohon maaf atas kekeliruan serta kekecewaan yang berlaku,” kata syarikat itu dalam kenyataan rasmi.
Menurut Giant, masalah itu berpunca daripada promosi pembekal yang tidak disampaikan dengan baik kepada pasukan mereka.
Ini mengakibatkan harga beras di premis tertentu lebih mahal berbanding harga promosi pasaran.
“Kami kini telah dimaklumkan bahawa promosi dari pembekal tidak disampaikan dengan baik kepada pasukan kami disebabkan oleh masalah dalaman.
“Ini merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan, dan ia telah menyebabkan harga jualan kami lebih tinggi daripada harga promosi pasaran,” jelas kenyataan itu lagi.
Giant menegaskan mereka komited untuk mengekalkan penetapan harga yang adil dan telus, khususnya bagi membantu pembeli di bawah program MyKasih.
“Di Giant, kami percaya pada penetapan harga yang adil dan telus, dan kami komited untuk berkhidmat kepada anda, terutamanya pembeli MyKasih.
“Sebaik sahaja kami sedar akan situasi ini, kami telah mengambil tindakan segera.
“Berkuat kuasa serta-merta, kami telah menurunkan harga beras daripada RM55.90 kepada RM35 untuk menyamai harga promosi tersebut.
“Kami menghargai kepercayaan anda dan sedang berusaha untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi. Terima kasih atas sokongan berterusan anda,” tambah kenyataan itu.
Baca juga: ‘Serupa macam tak dapat bantuan’ – Pembeli dakwa ada peniaga kaut untung atas bantuan MyKasih