‘Serupa macam tak dapat bantuan’ – Pembeli dakwa ada peniaga kaut untung atas bantuan MyKasih

Oleh MALAYSIADATELINE

Harga barangan asas Rahmah yang sepatutnya membantu rakyat kini dipersoalkan apabila terdapat jurang besar antara harga jualan biasa dengan harga di pasar raya tertentu.

Kenaikan mendadak itu dianggap benar-benar ‘menggigit’ poket pembeli, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku pada awal bulan ketika ramai penerima bantuan MyKasih baru sahaja boleh menebus peruntukan mereka.

Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat pihak yang sengaja mengambil kesempatan.

Tular di Facebook seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Anis Nabila yang tidak berpuas hati dengan satu pasar raya selepas dilihat menaikkan harga barangan asas Rahmah.

“Harga jualan biasa RM35, pasar raya ni letak sampai RM55.90

“Betul-betul kapak pembeli. Dok tengok asal mai awal bulan orang boleh tebus MyKasih pakat naikkan harga luar biasa.

“Penjual nak untung lebih ni dengan ambil kesempatan dekat pembeli,” ujarnya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook.

Tindakan penjual menaikkan harga secara luar biasa ini jelas menunjukkan sikap mementingkan keuntungan berlebihan.

Ini sekali gus menekan pembeli yang bergantung pada barangan asas rahmah untuk mengurangkan kos sara hidup.

Rata-rata netizen juga berpendapat bahawa pasar raya tersebut memang diketahui mempunyai harga barang lebih mahal berbanding di tempat lain.

“Bila ada bantuan macam ni, tiba-tiba harga barang naik, serupa macam tak dapat bantuan. KPDN perlu pantau perkara ni.

“Biasalah, mereka nak cepat habiskan duit orang. Sampai naikkan semua harga barang. Kita pula yang lalai, mereka buat begitu, akhirnya duit habis dan kita yang gigit jari.

“Kadang-kadang ada sesetengah kedai buat potongan harga kononnya promosi tapi sebenarnya mereka naikkan dulu harga asal. Tolak tambah, tetap sama macam harga asal,” antara komen netizen.

Baca juga: Berhenti kerja dari Oil & Gas untuk bina perniagaan sendiri, kini jadi usahawan popia berjaya