Anugerah Maulidur Rasul Kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) mengiktiraf individu mualaf yang cemerlang dalam dakwah, kerjaya dan sumbangan kepada pembangunan masyarakat Islam.
Tahun ini, anugerah tersebut menjadi milik pelakon Angeline Tan yang memeluk Islam pada tahun 2023 lapor Kosmo! Online.
Pelakon yang kini manis bertudung itu meluahkan rasa terharu dan menyifatkan penghargaan tersebut sebagai anugerah paling berharga dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam.
“Saya rasa sangat syukur, rasa terharu dan macam tak percaya, seorang insan kerdil seperti saya diberi anugerah besar pada hari semulia ini.
“Sejak saya masuk Islam, saya bertekad mahu menyampaikan erti sebenar Islam kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka tidak salah faham.
“Apabila salah faham dapat dihindarkan, negara kita akan lebih aman dan harmoni.
“Apabila mereka mula faham, mungkin suatu hari nanti, ada antara mereka turut memilih jalan sama seperti saya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan malah menghargai suaminya [engarah dan pelakon Sabri Yunus yang banyak memberi bimbangan kepadanya.
“Anugerah ini benar-benar memberi saya semangat baharu. Ini bukan satu permulaan, tetapi perjalanan panjang sejak saya memeluk Islam. Saya anggap ini misi pertama yang perlu saya laksanakan dengan penuh amanah.
“Saya berdoa agar Allah terus membuka banyak lagi ruang untuk saya berbakti dan melakukan sesuatu yang saya impikan selama ini.
“Penghargaan ini bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk suami saya, abang Sabri, keluarga serta semua insan yang pernah mendoakan kebaikan buat saya.
“Kalau bukan kerana abang Sabri saya tidak akan dapat menikmati Islam ,” ujarnya.
Baca juga: Peguam ‘kotak pensil’ kena serangan jantung, kini dirawat di ICU