“Kakaknya yang sakit” – Doktor dedah ibu bapa marah anak lain tak dapat MC

Oleh MALAYSIADATELINE

Ada segelintir pesakit yang masih menyalahgunakan sijil cuti sakit (MC) dengan menjadikannya sebagai ‘lesen’ untuk berehat tanpa sebab kukuh.

Perkara ini bukan sahaja menjejaskan integriti profesion perubatan, malah meremehkan fungsi MC sebagai dokumen rasmi.

Seorang wanita yang juga doktor kesal akan sikap ibu bapa yang senang meminta MC untuk anak yang tidak bersekolah.

Menerusi Threads, doktor dikenali sebagai Syafinaz memaklumkan ada ibu bapa yang meminta MC untuk anak lelaki yang datang untuk menemani kakaknya yang sakit.

“Boleh tak ibu bapa ajar anak-anak bahawa MC (sijil cuti sakit) adalah dokumen rasmi yang hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar tidak layak untuk bekerja atau bersekolah?

“Hari ini saya menerima seorang pesakit remaja perempuan berusia sekolah menengah, dibawa oleh ibu bapanya kerana mengalami jangkitan saluran pernafasan atas (URTI). Dia masuk ke bilik konsultasi bersama adiknya yang lebih muda.

“Selepas saya menjalankan konsultasi, pemeriksaan, mengambil darah dan sebagainya, ternyata si kakak memang tidak sesuai untuk hadir ke sekolah. Jadi, saya memutuskan untuk memberinya cuti sakit selama dua hari,” kongsinya di Threads.

Namun, ibu bapa terbabit didakwa meminta agar adik pesakit turut diberikan MC dengan alasan tidak hadir ke sekolah.

“‘Doktor, nanti MC dua hari untuk adik sekali ya, dia pun tak sekolah.’ Saya menolak permintaan itu dan menjelaskan bahawa MC hanya boleh diberi kepada mereka yang tidak layak untuk bekerja atau bersekolah.

“Tiba-tiba, si adik mengamuk kerana merasakan keadaan itu tidak adil, lalu menendang kerusi dan mainan di bilik konsultasi saya.

“Lebih mengejutkan, ibu bapa tersebut memarahi saya kerana menyebabkan anak lelaki mereka marah. Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak akan mengeluarkan MC untuk adik,” kongsinya.

Tidak hanya itu, ibu bapa pesakit tersebut juga meninggalkan ulasan negatif hanya kerana permintaan mereka tak dipenuhi.

“Lebih mengejutkan, ibu bapa itu pula memarahi saya kerana menyebabkan anak mereka marah, sedangkan mereka langsung tidak berusaha menenangkan keadaan.

“Selepas itu, mereka meninggalkan ulasan buruk di Google mendakwa saya doktor yang tidak mahu mengeluarkan MC,” katanya.

Tegasnya MC adalah dokumen rasmi dan hanya boleh diberikan kepada pesakit yang layak, bukannya untuk memenuhi permintaan semata-mata.

Baca juga: Kerja baiki peti ais mampu jana pendapatan lima angka sebulan