Ramai rakyat Malaysia kini sudah menebus penghargaan SARA (Sumbangan Asas Rahmah) yang disalurkan kerajaan sebagai inisiatif meringankan beban kos sara hidup.
Penebusan ini bukan sahaja membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan keperluan harian dengan lebih mudah.
Namun ada juga yang mengambil kesempatan dengan menjual barangan dibeli menggunakan bantuan yang diberikan kerajaan.
Menurut Persatuan Pengguna Kedah (Cake), terdapat pengguna menjual semula barang keperluan yang ditebus melalui sistem Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 bagi mendapatkan wang tunai lapor Kosmo! Online.
Presidennya, Mohd. Yusrizal Yusoff memaklumkan tindakan tersebut dipercayai dilakukan oleh mereka yang tidak memerlukan barangan dapur tapi mahukan wang tunai.
“Aduan ini kami terima di Kota Setar. Kita dimaklumkan oleh peniaga bahawa ada dalam kalangan pengguna membeli barangan menggunakan Sara RM100, kemudian dijual semula untuk mendapatkan tunai.
“Kebanyakan mereka adalah golongan bujang yang tiada tanggungan. Mungkin mereka perlukan duit untuk isi minyak motor atau tambah nilai telefon. Jadi kita dapat aduan ada yang melakukan perkara ini,” dakwanya seperti dipetik Kosmo! online.
Jelas beliau, ini menunjukkan ada rakyat Malaysia lebih mengutamakan tunai berbanding keperluan asas.
Malah pihaknya juga menerima rungutan pengguna yang terpaksa berulang kali ke pasar raya untuk membeli barangan kerana mengalami masalah gangguan sistem.
Baca juga: Disyaki ugut Pakar Patologi kes Zara Qairina, polis tahan warga emas umur 61 tahun