Seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun ditahan pihak polis pagi tadi kerana disyaki mengugut Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang terlibat dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir iaitu Dr Jessie Hiu.
Warga emas itu ditahan pada sekitar pukul 7 pagi tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berhubung laporan mengenai satu kenyataan di laman Facebook yang berunsur ugutan jenayah.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada Jumaat lalu daripada mangsa berhubung akaun Facebook menggunakan nama ‘Amung Kamaruddin’.
Dalam tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan hasil semakan awal mendapati peranti tersebut digunakan untuk mengendalikan akaun Facebook berkenaan, lapor Berita Harian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi daripada suspek,” kata Jauteh Dikun dalam satu kenyataan media dikongsikan sebentar tadi memetik laporan Berita Harian.
Dalam pada itu, Jauteh menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas jika mana-mana individu didapati melakukan kesalahan.
Orang ramai juga digesa untuk sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik kandungan di media sosial selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat.
“PDRM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.” Ujarnya.
Dr. Jessie merupakan salah seorang daripada empat pakar patologi yang terlibat dalam bedah siasat mayat pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah itu selepas kuburnya digali semula.
Pakar patologi terbabit membuat kenyataan dalam inkues kematian Zara dengan menyatakan adalah mustahil remaja itu ditolak atau terjatuh secara tiba-tiba walaupun kecederaan pada bahagian luar dan dalaman tubuh konsisten dengan seseorang jatuh dari tempat tinggi.
Hal ini kerana tembok penghadang yang ada di setiap tingkat Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratua’yun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan itu memiliki ketinggian hampir tiga per empat tubuh remaja terbabit.
Namun berdasarkan laporan kecederaan, bedah siasat dan lawatan ke lokasi kejadian, Dr. Jessie menyatakan terdapat kemungkinan Zara Qairina melompat dari tepi (luar) tembok penghadang konkrit (concrete ledge) atau menghayunkan badannya (swing over).
Selain itu, Dr. Jessi juga menjelaskan bahawa sebuah mesin basuh domestik tidak boleh beroperasi sekiranya beban muatan 53 kilogram (berat badan remaja terbabit) dimasukkan ke dalamnya.
Baca juga: Bawa bendera Palestin berserta kayu, pengunjung dihalang masuk pusat beli-belah