Inkues Zara Qairina: Tulisan tangan orang lain ditemui dalam buku milik arwah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh menemukan tulisan tangan orang lain dalam sebuah buku milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang diperiksanya sebelum ini.

Nurul Atiqah ketika membacakan keterangan bertulisnya di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mengatakan tulisan tangan itu ditemukan dalam buku bertanda ‘W3’ di beberapa muka surat.

Jelasnya, dokumen bertanda W3 itu adalah sebuah buku ‘Diamonds’ yang beliau nomborkan dari muka surat satu hingga 103, bertarikh antara 16 November 2024 dan 24 Mei 2025, lapor Berita Harian.

Buku itu mengandungi tulisan tangan yang dipertikaikan atau dipercayai milik arwah Zara Qairina namun memiliki perbezaan yang signifikan dengan ciri-ciri penulis contoh dalam beberapa muka surat.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada contoh tulisan tangan ‘SA’ (tulisan tangan Zara Qairina). 

“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini tidak ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina). Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat satu adalah campuran tulisan tangan penulis contoh (Zara Qairina) dan seorang yang lain,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Secara keseluruhan, Nurul Atiqah memeriksa sebanyak 15 helai kertas, empat buku nota dan dua buku teks yang mengandungi tulisan tangan bagi menentukan sama ada tulisan terbabit milik arwah Zara Qairina atau bukan.

Bagaimanapun, pemeriksa itu mendapati semua dokumen lain hanya mengandungi tulisan arwah Zara Qairina sendiri berikutan pemeriksaan menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisannya.

Dokumen diperiksanya yang menemukan persamaan signifikan adalah helaian kertas bertanda Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15, selain dalam helaian kertas Y8 dan buku bertanda W1 dan W2.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina).

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘Y8’ menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W1’ dan ‘W2’ menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh,” jelasnya.

Semua dokumen terbabit kemudian dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan ‘JABATAN KIMIA MALAYSIA selepas selesai dianalisis.

Mengulas lanjut, Nurul Atiqah memaklumkan bahawa dokumen berkenaan bersama tiga salinan laporan kimia kemudian diserahkan kepada pihak polis pada 2 September lalu sekitar jam 10.45 pagi.

Baca juga: Disyaki ugut Pakar Patologi kes Zara Qairina, polis tahan warga emas umur 61 tahun